Bunuh diri bukan satu jenayah

Secara jujurnya, menghukum mereka yang membuat cubaan bunuh diri akan menghalang kita mengetahui mengenai punya mereka berbuat demikian.

Banyak kajian serta bukti menunjukkan bahawa tindakan menghukum mereka yang cuba membunuh diri bukanlah satu penghalang dan tidak akan mengurangkan kadar bunuh diri. - Freeimages.com | Astro Awani
TELAH hampir setahun di mana Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Laman Minda mengeluarkan kenyataan media secara bersama untuk menggesa supaya satu tindakan dilakukan di peringkat Parlimen bagi memansuhkan Seksyen 309 Kanun keseksaan yang dianggap telah lapuk.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh diri ini adalah satu jenayah. Kedua belah pihak telah menyeru supaya kerajaan memperuntukkan pelaburan yang lebih baik untuk perkhidmatan kesihatan mental serta pembentukan Strategi Pencegahan Bunuh Diri di peringkat kebangsaan sebagai satu kaedah bagi mencegah kejadian bunuh diri.

Berita mengenai seorang lelaki dari Cheras telah dikenakan hukuman jenayah disebabkan cubaan bunuh diri baru-baru ini amat mengecewakan.

Mahkamah telah mengenakan denda sebanyak RM3,000 selepas dia gagal terjun daripada beranda rumah flatnya yang terletak di tingkat lima (BERNAMA, 4 Ogos 2020).

Timbalan Pendakwaraya dalam kes tersebut dilaporkan memohon supaya lelaki tersebut diberikan hukuman yang setimpal disebabkan kejadian tersebut telah menyusahkan ramai pihak serta pengajaran kepadanya.

Dalam satu lagi kes yang lebih serius, seorang juruterbang telah membuat keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri setelah kehilangan kerja dua bulan lalu (The Malay Mail, 5 Ogos 2020).


Banyak Kajian

Malangnya, banyak kajian serta bukti menunjukkan bahawa tindakan menghukum mereka yang cuba membunuh diri bukanlah satu penghalang dan tidak akan mengurangkan kadar bunuh diri.

Mishara dan Weisstub (2016) telah mengkaji kadar bunuh diri di 23 daripada 25 negara yang menghukum perbuatan bunuh diri dan cubaan bunuh diri ini serta menyimpulkan bahawa kadar bunuh diri tidaklah lebih tinggi atau lebih rendah apabila dibandingkan dengan negara lain serta tindakan menghukum tidak mengubah kadar kejadian bunuh diri.

Secara jujurnya, menghukum mereka yang membuat cubaan bunuh diri akan menghalang kita mengetahui mengenai punya mereka berbuat demikian.

Lelaki yang telah dihukum baru-baru ini dilaporkan tidak bekerja, mungkin mengalami masalah kesihatan mental.

Ini kerana kira-kira 90 peratus daripada kejadian bunuh diri dikaitkan dengan sekurang-kurangnya satu jenis masalah kesihatan mental (2,3).

Kemungkinaan didakwa dan dikenakan hukuman akan menghalang mereka untuk tampil mendapatkan pertolongan serta menyebabkan stigma yang menebal kepada psikiatri dan kesihatan mental.

Hukuman ke atas lelaki dari Cheras itu juga bertentangan dengan hasrat untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah (decriminalization of suicide) oleh Pejabat Peguam Negara.



Pada 31 Disember 2019, Datuk Liew Vui Keong yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu telah mengumumkan bahawa Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan kertas dasar untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah.

Kertas dasar ini telah mengambil maklum pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan di samping pendekatan bidang kuasa di dalam negara Komanwel seperti United Kingdom dan India.

Singapura juga telah memansuhkan akta ini pada 1 Januari 2020 sebagai sebahagian daripada pembaharuan undang-undang jenayah (Criminal Law Reforms Act).

Tindakan oleh Pejabat Peguam Negara ini akan menyebabkan perubahan ke atas Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Ramai pihak termasuk Majlis Peguam telah menyokong langkah ini sebagai satu tindakan yang ke hadapan.
Bukti saintifik juga tidak menunjukkan bahawa pemansuhan hukuman bunuh diri meningkatkan kadar bunuh diri (1).

Sebaliknya, terdapat pengurangan dalam kadar bunuh diri setelah kebimbangan mengenai hukuman undang-undang ini dihapuskan.

Mekanisma alternatif untuk menangani pelbagai faktor risiko yang menyebabkan kejadian bunuh diri perlu dicari.


Kesihatan Mental

MPA ingin sekali lagi menegaskan agar kerajaan memperuntukkan pelaburan yang lebih baik untuk perkhidmatan kesihatan mental serta pembentukan Strategi Pencegahan Bunuh Diri di peringkat kebangsaan.

Ini mampu mengurangkan faktor risiko serta kadar bunuh diri secara berkesan. Langkah yang dapat dijalankan termasuk mengurangkan stigma, meningkatkan akses kepada rawatan, mengurangkan akses kepada kaedah bunuh diri, laporan media yang bertanggungjawab serta pemerkasaan perkhidmatan rawatan.

Rawatan perubatan, penjagaan secara individu serta sokongan komuniti adalah penting untuk mencegah serta mengurangkan kadar bunuh diri berbanding hukuman, pendakwaan dan stigma.

Faktor-faktor ini mungkin mengeruhkan lagi keadaan bagi mereka yang memerlukan pertolongan.

Rujukan:

1. Mishara BL, Weisstub DN. The legal status of suicide: A global review. Int J Law Psychiatry. 2016;44:54-74. Epub 2015/09/17. doi: 10.1016/j.ijlp.2015.08.032. PubMed PMID: 26375452.

2. Barraclough B, Bunch J, Nelson B, Sainsbury P . A hundred cases of suicide: clinical aspects. Br J Psychiatry. 1974;125(0):355-73. Epub 1974/10/01. PubMed PMID: 4425774.

3. Appleby L, Shaw J, Amos T. National Confidential Inquiry into Suicide and Homicide by People with Mental Illness. Br J Psychiatry. 1997;170:101-2. Epub 1997/02/01. PubMed PMID: 9093494.



* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI