MALAYSIA

Bunuh dua beranak: Polis siasat semua sudut cari punca pembunuhan ibu, anak di Juru

Dewi Nur Harasha Alias 20/10/2025 | 08:20 MYT
Lokasi kejadian pembunuhan kejam yang meragut nyawa dua beranak. -Foto Sinar Harian
KEPALA BATAS: Polis akan menyiasat dari segenap sudut untuk mengenal pasti punca insiden dua beranak dibunuh dalam rumah mereka di Kampung Sekolah Juru, Pulau Pinang, pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Dua beranak maut akibat tetakan di Kampung Sekolah Juru, Pulau Pinang, dengan pisau pemotong daging dipercayai digunakan dalam kejadian.
  • Suami mangsa ditahan reman tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan pisau ditemukan berhampiran lokasi kejadian.
  • Polis siasat dari semua sudut untuk kenal pasti motif pembunuhan, dengan semua bahan bukti akan digunakan dalam siasatan.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, setakat ini motif pembunuhan masih belum jelas dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Azizee berkata, semua bahan bukti yang diperoleh akan digunakan dalam membantu siasatan kes tersebut.

"Kita akan siasat semua aspek bagi mencari punca sebenar pembunuhan dua beranak ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.

Polis menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut menemukan sebilah pisau dalam semak berhampiran lokasi pembunuhan ngeri dua beranak itu pada malam kejadian.

Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan mayat Allahyarham Sariya Che Hin, 51, ditemukan suaminya jam 7.30 malam di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan kepalanya hampir putus.

Manakala, mayat Nur Afrina Alisha Abdul Rahim,11, pula ditemukan dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.









#Dua beranak maut ditetak #kampung sekolah juru #pisau pemotong daging #Seksyen 302 Kanun Keseksaan