Bunuh kekasih, inspektor polis ke tali gantung

Astro Awani
Mac 9, 2021 08:40 MYT
Dia didakwa di bawah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
KUCHING: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu terhadap Sohffian Abu Hassan, 41, setelah berpuas hati dengan pasukan pendakwaan yang telah membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Jelas Chin, fakta yang dikemukakan telah membuktikan intipati pembunuhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang terdahulunya bertugas di Belaga itu didakwa membunuh Siti Nadrah Abdullah, 33, pada 21 Mei 2017, jam 3.15 petang di Kampung Kakai, Serian.
Dia didakwa di bawah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menembak mati mangsa dan melarikan diri dari tempat kejadian menaiki kenderaan polis.
Tertuduh kemudian memaklumkan kepada polis lokasinya sebelum ditangkap di hadapan sebuah pasar raya di Matang, Kuching.
Difahamkan, tertuduh bertindak demikian kerana marah dan cemburu dengan mangsa.
Berdasarkan rekod polis juga, tertuduh merupakan seorang duda serta tidak mengisytiharkan perkahwinannya kepada mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Suk Hui.
#inspektor polis #gantung sampai mati #Mahkamah Tinggi KUching #Christopher Chin #Polis bunuh kekasih #Polis Belaga