[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Bunuh tanpa niat, Mahkamah Persekutuan kekal hukuman penjara 18 tahun

Bernama 16/06/2025 | 11:30 MYT
Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir R. Kamaraj terhadap sabitan dan hukumannya. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap bekas pemandu lori yang disabitkan kesalahan membunuh tanpa niat seorang warga India pada 2016.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap R. Kamaraj atas kesalahan membunuh tanpa niat seorang warga India pada 2016.
  • Kamaraj disabitkan bersama seorang lagi individu, Kumaravelan, yang dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun; rayuan Kamaraj ditolak manakala Kumaravelan menarik balik rayuannya.
  • Mangsa, M. Selvam, diserang selepas pertikaian wang dan meninggal dunia akibat kecederaan; mahkamah menolak rayuan kerana tiada alasan kukuh untuk mengubah sabitan dan hukuman.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan akhir R. Kamaraj terhadap sabitan dan hukumannya.
"Kami tidak menjumpai sebarang alasan untuk mengganggu dapatan mahkamah, baik dari segi sabitan mahupun hukuman," kata Hakim Zabariah, mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban.
Kamaraj, 35, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana menyebabkan kematian M. Selvam, 39, di pekarangan sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, pukul 8 malam pada 27 Nov 2016.
Lelaki itu pada awalnya didakwa dengan dua individu lagi, iaitu S. Kumaravelan dan P. Tanabalan atas pertuduhan membunuh, bagaimanapun Tanabalan, 42, meninggal dunia sebelum perbicaraan bermula.
Pada 29 Dis 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Kamaraj dan Kumaravelan, 31, atas kesalahan membunuh tanpa niat. Kamaraj dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun manakala Kumaravelan dipenjara 13 tahun.
Kamaraj mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, namun ditolak pada 29 April lepas. Dia kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan manakala Kumaravelan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Semasa perbicaraan, seorang penjual bunga memberikan keterangan bahawa Selvam, pekerjanya, dibawa tiga lelaki termasuk perayu, dari kedainya selepas berlaku pertikaian melibatkan wang yang dia amanahkan kepada Selvam.
Wanita itu memberitahu mahkamah bahawa Kamaraj menjadi marah apabila Selvam mengaku telah menggunakan sebahagian daripada wang itu dan meminta lebih banyak masa untuk membayar semula. Penjual bunga itu menyatakan bahawa dia menjalin hubungan dengan perayu (Kamaraj) pada masa itu dan menyimpan wang berkenaan untuk perkahwinan mereka.
Selvam diserang dan dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Pada prosiding hari ini, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi dan Muhammad Amirrul Jamaluddin mewakili Kumaraj manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.
-- BERNAMA
#kes bunuh #Mahkamah Persekutuan #pemandu lori #kes mahkamah