PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu bas terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh teman wanitanya di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, tujuh tahun lepas.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan itu selepas menggunakan kuasa budi bicara mereka bagi menggantikan hukuman mati M.Siva Sangker, 39, dengan hukuman penjara.

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian susulan pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuat kuasa 4 Julai lepas yang membenarkan mereka memilih menjatuhi hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun untuk menggantikan hukuman mati mandatori.

Bapa lima anak itu turut diperintah menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Nov 2016.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Mohamad Zabidin berkata mahkamah mengesahkan sabitan terhadap Siva Sangker selepas mendapati ia selamat untuk dikekalkan.

Siva Sangker merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 4 Feb 2021 yang menjatuhi hukuman mati selepas dia didapati bersalah membunuh V. Durga Devi, 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang pada 12.15 tengah hari, 21 Nov 2016 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pada 6 Dis 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

Terdahulu, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Siva Sangker berhujah kegagalan peguam terdahulu di peringkat pembelaan memfailkan notis alibi untuk menafikan kehadiran tertuduh di tempat kejadian menunjukkan anak guamnya tidak mendapat perbicaraan yang adil.

"Semasa kejadian, anak guam saya tidak berada di situ dan dia berada di Masai (Johor)," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling pula berkata walaupun Siva Sangker mendakwa berada di Masai pada hari kejadian, tiada kepastian bahawa tertuduh berhasrat memfailkan notis alibi untuk menyokong pembelaannya.

Beliau berkata enam saksi telah menyatakan bahawa perayu telah menyerang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami 49 kecederaan akibat ditetak.

"Tetakan itu terkena tengkuk dan kepala mangsa yang boleh membawa kematian. Selepas mangsa ditetak, perayu terus mengejar dan menyerang mangsa walaupun mangsa terjatuh," katanya.

Rajpal turut memohon mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman alternatif iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun supaya Siva sangker mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

"Anak guam saya menyesal dengan kejadian yang berlaku dan telah memohon maaf kepada keluarga mangsa. Memang betul kehilangan nyawa telah berlaku dan dia melakukan kesalahan serius tapi dia bukan pembunuh bersiri yang membahayakan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, How memohon sabitan dan hukuman terhadap Siva Sangker dikekalkan.

-- BERNAMA