Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Bunuh tukang masak : Tiga lelaki Myanmar direman seminggu

Dewi Nur Harasha Alias 17/11/2025 | 02:40 MYT
Tiga lelaki Myanmar termasuk dua beradik yang didakwa menikam tukang masak wanita tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Tiga lelaki Myanmar termasuk dua beradik yang didakwa menikam tukang masak wanita gara-gara masakan tidak sedap dalam kejadian di restoran masakan Thailand di Lorong Bukit Juru, Pulau Pinang direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah ke atas tiga lelaki berusia 30-an di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi.

Tempoh reman bermula hari ini sehingga 23 November depan dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke mahkamah dengan diiringi polis jam 8.45 pagi.

Astro AWANI hari ini melaporkan, seorang tukang masak wanita maut ditikam selepas berlaku pertengkaran dengan pelanggan yang mendakwa masakan yang dimasaknya tidak sedap.

Kejadian di laporkan berlaku di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru, Pulau Pinang kira- kira jam 9 malam tadi.

Wanita Myanmar berusia lingkungan 40- an itu maut di lokasi kejadian manakala suaminya serta rakan suspek cedera juga akibat tikaman.

Di fahamkan sebelum kejadian, suspek warga Myanmar bersama beberapa rakannya datang makan di restoran berkenaan sekitar jam 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.

Kesemua lelaki terbabit bertengkar dengan mangsa dan suaminya sebelum wanita itu menghalau mereka dari lokasi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka berusia lingkungan 30-an itu dikatakan memanggil abangnya sebelum kembali semula ke restoran tersebut dan menikam mangsa sehingga maut menggunakan sebilah pisau.

Susulan itu, tindakan pantas polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek termasuk dua beradik berhampiran lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




#tukang masak maut #warga myanmar #Mahkamah Majistret Bukit Mertajam #suspek