NATIONAL
Bunuh warga emas: Hukuman penjara bekas tentera dikurangkan kepada 35 tahun
Zarmayade Abdullah, berjaya dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman penjara terhadapnya namun gagal membatalkan sabitan membunuh. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengurangkan hukuman penjara seorang bekas tentera daripada 40 tahun kepada 35 tahun bagi kesalahan membunuh seorang pesara guru wanita dalam kejadian rompakan pada 2017.
Zarmayade Abdullah, 49, berjaya dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman penjara terhadapnya namun gagal membatalkan sabitan membunuh.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel tiga hakim, ketika menyampaikan keputusan mengekalkan sabitan Zarmayade berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak tersilap dalam mensabitkannya.
"Berdasarkan bukti keseluruhan, sabitan kekal dan rayuan terhadap sabitan ditolak," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.
Bagaimanapun, mahkamah menerima rayuan Zarmayade berhubung tempoh hukuman dan mengurangkan hukuman penjara 40 tahun kepada 35 tahun.
Hukumannya bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 April 2017.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan 12 sebatan yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap Zarmayade.
Pada 22 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Zarmayade setelah mendapatinya bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan antara 11 pagi dan 3 petang pada 12 April 2017.
Warga emas itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya yang pulang ke rumah mereka pada sebelah petang.
Pada 24 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahannya tetapi menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun penjara dan 12 sebatan. Zarmayade kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Firdaus Mohd Yusoff mewakili Zarmayade pada prosiding hari ini manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari bagi pihak pendakwaan.
-- BERNAMA