MALAYSIA

Buruh binaan ditemui mati, enam ditahan bantu siasatan

Adie Sufian Zulkefli 23/10/2025 | 21:45 MYT
Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 44 tahun. - Foto PDRM
YAN: Seorang buruh binaan ditemukan meninggal dunia dengan kesan jerutan di leher serta luka di bahagian bibir di sebuah rumah di Kampung Jalan Yan, Teroi Guar Cempedak, pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Mangsa ditemui mati dengan kesan jerutan di leher dan luka di bibir di rumah sewa di Kampung Jalan Yan.
  • Insiden tercetus selepas mangsa ditegur kerana lewat bersiap, lalu berlaku serangan menggunakan pisau dan kabel.
  • Polis menahan enam lelaki berusia 29 hingga 44 tahun dan akan mohon reman di Mahkamah Sungai Petani bawah Seksyen 302.


Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohammad Harmizi Abdullah memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 1 petang dan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan antara mangsa dan rakan sekerjanya, seorang lelaki tempatan yang tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dan mangsa merupakan pekerja binaan yang tinggal serumah,” katanya.

Pergaduhan tercetus apabila salah seorang lelaki tempatan menegur mangsa yang lambat bersiap untuk ke tempat kerja mereka di Bukit Jenun.

Teguran itu menyebabkan mangsa berang lalu mengambil sebilah pisau dan melibas ke arah rakan sekerjanya, yang ketika itu memegang sebatang besi.

“Suspek kemudian mencapai wayar kabel dan menjerut leher mangsa sehingga mangsa tidak sedarkan diri,” jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 44 tahun.

Mereka ditahan sejurus selepas salah seorang daripada mereka membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Mohammad Harmizi berkata, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Sungai Petani pada Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







#kes bunuh #warga asing #reman #buruh binaan