[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Buruh cedera diserang buaya ketika menjala ikan di tasik

Sinar Harian 01/05/2025 | 10:02 MYT
Buaya tembaga seberat kira-kira 100kg yang menyerang mangsa berjaya ditangkap oleh anggota Perhilitan. Gambar kecil: Keadaan lengan mangsa yang cedera akibat diserang buaya. - Foto Sinar Harian
BANDAR PERMAISURI: Seorang buruh cedera selepas diserang seekor buaya tembaga ketika menjala ikan di sebuah tasik berhampiran Kampung Jelapang, Sungai Lerek di sini, pada petang Rabu.

Ringkasan AI
  • Ahmad Khalid Ya, 50, diserang secara tiba-tiba oleh seekor buaya tembaga ketika menjala ikan di Sungai Lerek, Setiu, namun berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.
  • Buaya seberat 100 kilogram dan sepanjang 12 kaki itu ditangkap dengan bantuan pegawai Perhilitan sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi.
  • Pengarah Perhilitan Terengganu mengesahkan insiden ini sebagai kes serangan buaya pertama di kawasan tersebut pada tahun 2025.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Ahmad Khalid Ya, 50, diserang reptilia berkenaan yang muncul secara tiba-tiba ketika berada di dalam air.
Menurutnya, mangsa keluar menjala bersama dua ahli keluarga termasuk sepupunya, Mohd Sabri Shamsudin, 37, sebelum diserang haiwan tersebut.
"Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian jari serta lengan. Mangsa kini dalam keadaan stabil," katanya di sini, pada Khamis.
Jelas Mohd Zain, buaya tersebut telah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada hari sama.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran buaya itu sekitar jam 9 malam dan segera menghantar pegawai ke lokasi berkenaan.
Jelasnya, kes itu merupakan insiden pertama serangan buaya yang direkodkan di kawasan tersebut tahun ini.
"Buaya tersebut dikenal pasti sebagai spesies buaya tembaga atau Crocodylus porosus. Ia dianggarkan seberat 100 kilogram dan sepanjang 12 kaki.
"Haiwan itu telah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan pegawai Perhilitan, sebelum dipindahkan dan dilepaskan ke habitat semula jadi yang sesuai," katanya. -- Sinar Harian

#diserang buaya #menjala di tasik #Setiu #Perhilitan