KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas dakwaan cuai hingga tertembak anak sepupunya hingga maut pada 12 Mei lalu.

Tertuduh, Nik Nazli Nik Mohd Mustapha, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, dengan melakukan perbuatan cuai.

Perbuatan itu dilakukan di Kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur, dekat Machang antara jam 2 hingga 3 pagi pada 12 Mei 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang bertempat di kaki bukit belakang Pejabat Tapak Semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong, Machang, kira-kira 1 tengah hari pada tarikh sama.

Tetuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara dan dihukum sebat tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pemuda maut selepas dipercayai terkena tembakan dilepaskan bapa sepupunya kerana menyangkakan dia adalah haiwan buruan. -- Sinar Harian