GUA MUSANG: Mangsa serangan gajah, Razali Daud, 55, tidak sempat menikmati juadah kuih pau dan tapai pulut yang disediakan isterinya sebelum dia keluar dari rumah untuk berkhemah di kawasan ladang berhampiran Jalan Ladang Serasa di sini pada petang Rabu.
Isterinya, Ropiah Sari, 58, berkata, dia menyediakan makanan kegemaran suaminya itu sebagai hidangan minum petang, namun ia tidak sempat dijamu sebelum kejadian tragis menimpa lelaki berkenaan.
“Saya sedar dia keluar kira-kira jam 5 petang sebab keretanya tiada di kawasan rumah dan anggap dia ke rumah rakannya.
“Dia memang suka kuih pau dan tapai pulut. Saya buat semalam tapi dia tidak sempat makan,” katanya kepada pemberita.
Suaminya itu ditemukan maut dipercayai diserang sekumpulan gajah di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa di sini semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Ropiah berkata, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana suaminya sering bermalam di rumah rakan atau berkhemah di kawasan sungai di Lata Rek.
Katanya, dia cuba menghubungi Razali selepas waktu Maghrib, namun panggilan tidak berjawab sehingga lewat malam menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.
“Saya memang tak sangka perkara ini berlaku tapi tetap reda,” katanya.
Menurutnya, berita pemergian suaminya diketahui selepas dimaklumkan jiran kira-kira jam 10 pagi semalam sebelum dia bergegas ke hospital.
Siasatan pihak berkuasa di sekitar lokasi penemuan mayat mendapati terdapat kesan tapak kaki dan najis gajah. - Sinar Harian