KUCHING: Burung kenyalang, yang menjadi lambang kebanggaan Sarawak, antara spesies bernilai tinggi dan menjadi sasaran kegiatan haram, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.
Beliau berkata setakat ini, status spesies hidupan liar di negeri itu masih dalam keadaan terkawal hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi termasuklah Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain.
Advertisement
“Walaupun kita tidak dapat mengawal sepenuhnya kegiatan ini, langkah penguatkuasaan yang konsisten serta kerjasama pelbagai pihak membantu mengurangkan kes pemburuan dan perdagangan haram.
“Antara kesalahan yang sering dikesan ialah perdagangan daging hidupan liar, yang kini bukan sahaja berlaku di kawasan hutan, tetapi turut melibatkan penjualan di pasar awam,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti, Flag-Off Operasi Bersepadu Khazanah serta Pelancaran 1000 Visit To Save Wildlife di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata aspek pendidikan perlu diberi penekanan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran tentang undang-undang serta kesan pemburuan terhadap ekosistem.
“Pendidikan amat penting supaya masyarakat memahami apa yang dibenarkan dan dilarang, termasuk perbezaan antara penggunaan untuk keperluan sendiri dengan tujuan komersial.
“Penglibatan komuniti melalui pelantikan renjer komuniti turut membantu memperluas jaringan pemantauan di kawasan pedalaman. Selain itu, penggunaan teknologi moden seperti dron, sensor haba dan pemetaan geospatial terus dipertingkatkan bagi mengekang kegiatan jenayah hidupan liar yang semakin menggunakan kaedah canggih,” katanya.
-- BERNAMA