KUALA LUMPUR: Bukan sahaja berpakaian busana baju Melayu lengkap bersamping serta bersongkok selain berbaju kurung dan berkebaya, ada juga mengenakan pakaian baju etnik pelbagai kaum di negara ini, sambil berlari sejauh empat kilometer mengelilingi pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Itulah keunikan acara Larian Ria MADANI yang bertemakan pakaian tradisional, melibatkan kira-kira 2,500 peserta sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Majlis pelepasan larian santai yang julung kali diadakan itu, disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim kira-kira 7.30 pagi tadi. Turut diadakan acara senamrobik dan zumba.

Ketika ditemui Bernama, seorang peserta berbangsa Iban Adal Adong, 43, dari Bintulu, Sarawak berkata larian itu menjadi medium terbaik dalam berkongsi budaya kepada semua masyarakat di negara ini.

"Mungkin ada pakaian kita pakai tak semua orang tahu. Jadi, inilah masanya untuk kita pamerkan kepada kawan-kawan lain yang sertai larian ini," katanya yang mengenakan sepersalinan lengkap pakaian Iban.

Mazli Kamar, 43, dari Sungai Buloh, Selangor pula berbangga apabila berkesempatan berlari dengan sepersalinan pakaian Punjabi, yang beliau pinjam daripada rakan berbangsa India.

"Ini pertama kali saya sertai acara larian seperti ini. Saya rasa bangga dan seronok mengetengahkan antara pakaian tradisonal yang kita ada," katanya yang turut ditemani lapan ahli keluarga yang kesemuanya mengenakan pakaian tradisional Melayu.

Bagi Nur Maizanqistina Md Radzi, 41, dari Kajang, Selangor berpandangan acara larian seumpama itu, bukan sahaja bertujuan menaikkan martabat budaya tetapi juga memupuk semangat kecergasan dan kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Jarang sekali acara larian seperti ini diadakan. Selepas ini, mungkin patut dilakukan secara berkala kerana secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan antara kaum," katanya yang mengenakan baju kurung moden kontemporari.

Bagi Stevie Sebol, 38, yang berasal dari Tuaran, Sabah berkata program larian itu berjaya memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

"Sepanjang saya berlari, saya lihat pelbagai komuniti saling berinteraksi antara satu sama lain. Ia satu perkara sangat menggembirakan," katanya yang juga merupakan petugas di reruai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di sini.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok, bermula 9 pagi hingga 10 malam, dan memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

-- BERNAMA