MALAYSIA

CAA, JDA dikenal pasti hotspot pencerobohan nelayan asing - APMM Kelantan

Bernama 13/12/2025 | 20:00 MYT
Erwan Shah berkata pencerobohan itu masih berterusan khususnya di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kawasan Perjanjian Bersama (CAA) Malaysia-Vietnam dan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) Malaysia-Thailand dikenal pasti sebagai antara "hotspot" pencerobohan nelayan asing yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.


Ringkasan AI
  • Kawasan Perjanjian Bersama (CAA) Malaysia-Vietnam dan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) Malaysia-Thailand dikenal pasti sebagai "hotspot" pencerobohan nelayan asing yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.
  • Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Kelantan, Kapten Erwan Shah Soahdi, menyatakan bahawa pencerobohan nelayan asing masih berterusan, terutamanya di perairan Kelantan, Terengganu, dan Pahang.
  • Maritim telah merampas 15 bot nelayan asing di perairan Pantai Timur dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM9.9 juta untuk tahun 2024, dan operasi penguatkuasaan terus dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Kelantan Kapten Erwan Shah Soahdi berkata penangkapan ikan sememangnya tidak dibenarkan di kedua-dua kawasan namun sering menjadi sasaran bot nelayan asing yang dikesan melakukan aktiviti itu secara tidak sah.

Beliau berkata pencerobohan itu masih berterusan khususnya di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Setakat ini, sebanyak 28 bot nelayan asing dikesan menceroboh perairan negara dengan tiga tangkapan melibatkan 17 kru... nilai rampasan dianggarkan RM1.17 juta.

"Bagi tahun 2024 pula, maritim berjaya merampas 15 bot nelayan asing di perairan Pantai Timur dengan 16 tangkapan melibatkan 134 kru... nolai keseluruhan rampasan mencecah RM9.9 juta," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Erwan Shah berkata operasi penguatkuasaan seperti Op Damai 1/2018, Op Iman 1/2018, Op Naga 1/2024 dan Op Tiris 3.0 terus dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram khususnya di zon maritim berisiko tinggi.

"Hasil laut yang dicuri dari perairan Malaysia kebanyakannya dihantar ke negara asal mereka bagi memenuhi permintaan tinggi sektor pemprosesan makanan laut," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus memperkukuh rondaan, pengawasan dan operasi bersepadu bersama dengan agensi berkaitan bagi melindungi perairan negara serta mengelakkan kemerosotan sumber marin.

Erwan Shah turut menasihati nelayan tempatan agar lebih berwaspada ketika keluar ke laut berikutan monsun timur laut yang masih belum reda dan berpotensi membawa angin ribut kuat yang membahayakan mereka khususnya yang menggunakan bot kecil.

Beliau menyarankan agar nelayan keluar secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko dan memudahkan bantuan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

-- BERNAMA




#monsun timur laut #APMM #hotspot #sumber marin