CAAM mulakan siasatan isu helikopter ambil 'nasi ganja'

Astro Awani
Julai 24, 2021 04:32 MYT
Siasatan itu akan memfokuskan sama ada helikopter Bell 505 yang dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu melanggar sebarang peraturan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memulakan siasatan berkait isu sebuah helikopter mendarat bagi mengambil bungkusan nasi ganja di Padang Ipoh, pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, siasatan itu akan memfokuskan sama ada helikopter Bell 505 yang dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu melanggar sebarang peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).
“CAAM juga akan membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya,” memetik kenyataan tersebut.
BACA: Guna helikopter ambil 36 bungkus 'nasi ganja': Polis siasat surat kebenaran rentas negeri
Jelas beliau, helikopter berkenaan mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh pada pukul 10 pagi Jumaat, dan siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh pada pukul 9.08 pagi dan kembali ke Subang pada pukul 11:02 pagi, seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.
Dalam pada itu, CAAM turut menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan.
“CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam,” katanya.
Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
Pada Jumaat, helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh, Perak dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus 'nasi ganja' yang ditempah pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya itu.
BACA: Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.
#Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah #penyakit berjangkit #Majlis Bandaraya Ipoh #penerbangan #pesawat #SOP #helikopter #nasi ganja