MALAYSIA

CAAM sah helikopter PDRM bawa juruterbang, 4 penumpang terbabit kemalangan di Johor

Astro Awani 10/07/2025 | 04:40 MYT
Anggota polis dan Maritim Malaysia menyelamatkan mangsa helikopter PDRM yang terlibat dalam kemalangan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Lima orang termasuk juruterbang helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan selamat selepas pesawat itu terbabit dalam kemalangan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, hari ini.


Ringkasan AI
  • Lima individu termasuk juruterbang helikopter AS355N milik PDRM disahkan selamat selepas pesawat itu mengalami kemalangan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor.
  • Helikopter berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi dan semua mangsa diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
  • Siasatan kemalangan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.


Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika pesawat berkenaan menjalani simulasi lintas hormat sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai, di sini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, helikopter dikendalikan seorang juruterbang membawa empat penumpang berkenaan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi.

"Semua lima mangsa diselamatkan Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Johor," kata CAAM dalam satu kenyataan hari ini.


CAAM berkata, semua mangsa sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk penilaian dan rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Siasatan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.






#helikopter PDRM #kemalangan pesawat #nahas helikopter #Gelang Patah #terkini