KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd kini meninjau cadangan perniagaan berimpak tinggi daripada orang ramai yang menjurus kepada pertumbuhan dan kemajuan perkhidmatan bagi warga emas pada kadar berpatutan.

Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) berusaha mengenal pasti penyelesaian inovatif, sama ada yang berasaskan teknologi atau sebaliknya, yang menyediakan perkhidmatan penjagaan dan sokongan untuk golongan warga emas yang berpatutan dari segi harga.

"Para pemenang berpeluang menerima anugerah dalam bentuk geran pembangunan projek yang berjumlah sehingga RM300,000 setiap satu dan seterusnya turut berpeluang menerima pelaburan susulan daripada Khazanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KIIC adalah lanjutan daripada mandat pelaburan strategik Khazanah yang turut menyasarkan sektor tumpuan baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya meningkatkan daya saing negara untuk mencapai kekayaan jangka panjang secara mampan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Khazanah, cabaran perniagaan itu bertujuan mempersiapkan negara yang kian menuju ke arah status negara tua menjelang tahun 2045, apabila kira-kira 15 peratus penduduk negara pada ketika itu dianggarkan berumur 65 tahun ke atas.

Pengarah Urusan Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata kumpulan melihat KIIC sebagai platform baharu yang dapat mengenal pasti pelaburan strategik baharu yang mempunyai potensi untuk memberi impak ekonomi kepada negara.

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia dan disokong oleh komuniti usahawan global Endeavour.

Permohonan dalam talian untuk KIIC dibuka hari ini dan berakhir pada 7 Jun, 2021.

Penyertaan yang disenarai pendek akan menerima jemputan untuk menghadiri Pitch Day dan pemenang akan diumumkan pada Julai 2021.

-- BERNAMA