NATIONAL
Cabaran media masih besar walaupun Indeks Kebebasan Media meningkat- Fahmi
Menurut Fahmi, pengamal media di negara ini masih berdepan dengan pelbagai cabaran besar yang memerlukan perhatian segera.
KUALA LUMPUR: Para pengamal media di negara ini masih berdepan dengan pelbagai cabaran besar yang memerlukan perhatian segera meskipun kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2024 menunjukkan peningkatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, matlamat kerajaan bukan semata-mata untuk melihat kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media meningkat, tapi lebih penting lagi membantu pengamal media yang kini berdepan dengan evolusi Kecerdasan Buatan (AI).
“Kadangkala kedudukan meningkat bukan kerana kita melonjak secara besar-besaran, tetapi kerana negara lain turun. Jadi ini bukan masa untuk berpuas hati,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan pelbagai isu asas masih membelenggu sektor media tempatan, termasuk kebajikan wartawan, isu pekerjaan dan kebimbangan terhadap pengaruh AI.
“Ramai risau AI akan menggantikan wartawan. Ini isu besar yang perlu kita hadapi bersama, bukan sekadar bergantung kepada angka indeks.
“Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan telah menggubal undang-undang bagi menubuhkan Majlis Media Malaysia, yang dijangka dapat dilancarkan menjelang Hari Wartawan Nasional tahun ini.
“Kita anggap ini langkah kanan, tapi ia hanyalah permulaan. Kita perlu pergi lebih jauh dalam membela nasib rakan-rakan media,” kata beliau dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Fahmi turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan mendalam dengan pelbagai pihak termasuk kesatuan wartawan, organisasi media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi merangka garis panduan berkaitan penggunaan AI dalam bidang kewartawanan.
“Kita tidak mahu AI disalah guna untuk menyebar berita palsu atau maklumat tidak tepat. Garis panduan ini penting untuk lindungi integriti media,” jelasnya.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri kewartawanan, yang dilihat membawa potensi manfaat dan risiko.
Setiausaha Agungnya, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, NUJM sedia memberi kerjasama kepada Majlis Media Malaysia yang ditubuhkan kerajaan dalam merangka garis panduan etika berkaitan penggunaan AI.
Baru-baru ini, Astro AWANI sekali lagi meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobat pemenang Anugerah Digital Media Asia 2025 untuk kategori “Penggunaan AI Terbaik Dalam Bilik Berita” pada Anugerah Digital Media Asia 2025 anjuran World Association of News Publishers (WAN-IFRA).
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Astro AWANI menang kategori berkenaan.
Kemenangan itu meletakkan Astro AWANI dalam radar global sebagai antara bilik berita yang paling berjaya mengintegrasikan teknologi AI dalam ekosistem media di Malaysia dan Asia.
“Dalam era AI ini, kami memperteguh iltizam untuk terus berkhidmat kepada audiens dengan berpegang teguh kepada prinsip bahawa kewartawanan dan teknologi mampu bergandingan secara harmoni dengan nilai integriti, demi memacu inovasi dan memperkukuh tanggungjawab bersama,” jelas Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail.
Dengan kejayaan ini, Astro AWANI bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai jenama berita paling dipercayai di Malaysia, malah membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu bersaing dan diiktiraf di pentas dunia.
Anugerah Digital Media Asia oleh WAN-IFRA merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam industri media digital serantau.
Ia memberi tumpuan kepada pencapaian luar biasa dalam penggunaan teknologi, inovasi kandungan dan strategi pertumbuhan digital.