Mahu melihat anak didik berjaya ke peringkat tertinggi. Menolak tepi segala cabaran dan dugaan, guru muda, Farah Najihah Abdul Rahman, 29 tahun berazam akan cuba sedaya upaya menggalas amanah sebagai guru, mendidik anak bangsa.

Berasal dari Dungun, Terengganu, Farah tidak pernah menyangka akan berkhidmat sebagai guru, apatah lagi di kawasan pedalaman Sarawak –Kapit.

“Pada awalnya, agak sukar untuk terima kenyataan apabila ditempatkan ke sini (Kapit),” jelas Farah.

“Tapi kerana amanah yang diberi, kita buat yang terbaik demia anak bangsa,” tambahnya lagi ketika ditemu bual Astro Awani.

Memegang Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media (Penerbitan), Farah menyifatkan bidang perguruan adalah satu bidang yang begitu besar cabarannya, bukan sahaja pada diri sendiri, malah kepada negara dan bangsa.

“Keikhlasan itu penting. Perlu sentiasa berdedikasi ketika menjalankan tugas, “ kata Farah.

“Jangan harapkan balasan kerana hadiah paling bermakna bagi seorang guru adalah kejayaan pelajar,” nasihat beliau.

Guru mata pelajaran Sejarah, Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini antara lain menekankan, menjadi guru di kawasasn pedalaman perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental, selain bijak menyesuaikan diri di tempat orang.

“Kalau saya tidak kuat, saya rasa, saya tidak mampu bertahan di sini (Kapit) selama 3 tahun,” tegasnya.
Beliau turut memberitahu, bijak menyesuaikan diri tempat asing itu perlu dan usah menyombong dalam mengenali adat dan budaya masyarakat tempatan.

Sempena Hari Guru ini, beliau berharap pelajar-pelajar seluruh Malaysia amnya tidak melupakan jasa guru yang mendidik mereka hingga berjaya.

Turut sama berkongsi pengalaman, Ahmad Faizul Mohd Noor, yang sudah 5 tahun berkhidmat sebagai guru Teknologi Maklumat di Sekolah Menengah Kebangsaan Selirik, Kapit.

Berterima kasih kepada rakan tempatan yang banyak membantu beliau menyesuaikan diri di sini, anak kelahiran Pahang ini tidak melihat cabaran itu sebagai alasan untuk patah semangat meneruskan perjuangan mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

“Pertama sekali ialah bahasa. Mereka faham Bahasa Melayu, tapi bertutur bahasa Iban,” jelas Faizul.

Jadi, guru kena faham bahasa Iban jika tidak mahu dipermainkan pelajar,” tambah beliau lagi.

Katanya, perbezaan latar belakang agama dan budaya jug amerupakan antara cabaran yang perlu ditangani guru-guru semenanjung terutamanya.

Faizul berharap anak-anak muridnya tidak akan jemu belajar dan usah jadikan gelaran ‘pedalaman’ sebagai kekangan untuk terus berjaya.

Sementara buat seluruh warga pendidik di Malaysia, tidak kira dimana akan ditempatkan, niat untuk berjuang mencurah ilmu kepada pelajar merupakan adalah ramuan paling penting sebagai pendidik.

Hampir 98 Peratus pelajar di SMK Selirik, Kapit merupakan masyarakat peribumi Iban dan rata-rata warga pendidik di sekolah tersebut adalah guru muda dan berasal dari Semenanjung.

Buat warga pendidik di seluruh Malaysia, Selamat Hari Guru, terima kasih Cikgu, jasamu dikenang.
Semoga Guru Malaysia: 1 Agenda 1 Aspirasi mencapai matlamat selaras menuju negara bependapatan tinggi 2020.