NATIONAL
Cabul di masjid: Pemuda OKU diarah jalani pemeriksaan mental
Muhamad Adam yang ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam, dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang pada Selasa. - Foto Sinar Harian
AMPANG: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan seksual terhadap seorang budak perempuan di masjid akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, diarah menjalani pemeriksaan mental untuk mendapatkan penilaian psikiatri daripada pakar.
Menurut peguam, Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh, permohonan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah iaitu bagi tertuduh disyaki tidak sempurna akal.
“Sepanjang interaksi dengan tertuduh, makluman daripada ibunya dan penilaian psikologi dari sebuah universiti awam bertarikh 15 Julai 2022, anak guam menunjukkan tingkah laku atau mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan.
“Ini berkemungkinan besar menunjukkan tertuduh mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya membela diri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie berkata, semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pihak pembelaan kecuali laporan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.
Mendengar perkara tersebut, Hakim Norshila Kamarudin menetapkan sebutan kes bagi penyerahan dua lagi dokumen dan permohonan pihak pembelaan mengenai laporan psikiatri pada 22 Julai depan.
Terdahulu, Ketika ditemui di luar mahkamah, Lingswaran berkata permohonan itu dibuat kerana pihaknya mahu mendapatkan penilaian sama ada tertuduh layak dibicarakan atau sebaliknya.
“Dia memang ada kad OKU tetapi jika mengikut bidang perubatan, seseorang yang mungkin dianggap tidak waras masih berkemungkinan layak menghadapi perbicaraan mengikut aspek perundangan,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata keputusan hanya akan ditentukan mahkamah selepas mendapat penilaian pihak psikiatri.
"Selepas barulah representasi boleh dibuat sama ada untuk memohon gugu kes atau menukar seksyen pertuduhan," katanya.
Pada 27 Februari lalu, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali di sini pada jam 6.20 pagi, 21 Februari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada tidak bersalah ketika sebutan kes untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 27 Mac.
Mahkamah membenarkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, namun pemuda berkenaan kekal ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam selepas ahli keluarganya tidak mampu membayar jumlah tersebut.
Pada Februari lalu, tular rakaman CCTV memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipeluk seorang lelaki ketika menunaikan solat Subuh.
Mangsa berada di saf belakang ruang solat wanita bersama jemaah lain turut diangkat lelaki berkenaan sebelum menyelinap masuk ke ruang lain masjid.
Susulan itu, suspek ditahan di Batang Kali selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - Sinar Harian