KEMAMAN: Seorang doktor perubatan direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Perintah reman sehingga 16 Februari itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin bagi membolehkan siasatan lanjut kes dilakukan.

Suspek berusia 30 tahun sebelum ini ditahan pada Khamis, jam 1.50 petang selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mengesyaki anak perempuannya berusia 12 tahun menjadi mangsa amang seksual oleh doktor yang merawatnya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, laporan tersebut diterima pada jam 9 malam, Rabu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Menurutnya, kejadian diketahui ibu mangsa selepas diceritakan sendiri oleh kanak-kanak berkenaan pada jam 6 petang hari sama laporan dibuat.

"Mangsa memaklumkan suspek merupakan doktor yang merawatnya telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar mangsa menggunakan telefon bimbit milik suspek.

"Kejadian berlaku di bilik rawatan wad Hospital Kemaman," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Rohaimi berkata, polis percaya terdapat kanak-kanak perempuan lain yang turut menjadi mangsa berdasarkan penemuan awal beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya. -Sinar Harian