CAC Dewan Sukan Klang, Stadium Malawati lebih 'tenang' hari ini

Umavathi Ramayah
Julai 13, 2021 09:49 MYT
Tinjauan di CAC Stadium Malawati, mendapati keadaan terkawal berbanding semalam. - Gambar/ Facebook Yusaini Mohd Yusof
SHAH ALAM: Semalam, tular gambar serta rakaman video memaparkan keadaan sesak ribuan orang beratur panjang di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan Klang dan Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam.
Penyebaran gambar dan video disertai pelbagai kapsyen itu menggambarkan keadaan sangat serius, sehingga ada yang menyifatkannya sebagai 'medan perang', mencetus kebimbangan orang ramai.
Namun situasi berbeza dapat dilihat di kedua-dua CAC itu hari ini yang dilihat lebih terkawal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang memuaskan.
Walaupun bilangan orang yang datang masih ramai, namun tidak sesak melampau seperti yang berlaku semalam.
COVID-19 | Situasi semasa di CAC Melawati
BACA: 'CAC Stadium Malawati seperti medan perang'
Tinjauan Astro AWANI sejak pukul 10 pagi di CAC Dewan Sukan Klang mendapati orang ramai masih lagi beratur panjang sehingga di luar perkarangan dewan.
Sebahagian mereka dikatakan menunggu sejak pukul 5.30 pagi meskipun dewan tersebut hanya dibuka pukul 9 pagi.
Walaupun keadaan semakin terkawal, ada pihak tetap menyifatkan lokasi dewan tersebut tidak sesuai kerana berhampiran kediaman penduduk serta laluan keluar masuk utama ke taman berkenaan.
Pengerusi Surau An-Naim, Sajian Sikon, ketika ditemui turut mengakui tidak dimaklumkan mengenai pembukaan CAC di kawasan berkenaan dan berkata penduduk bimbang mengenai risiko penularan COVID-19.
"Kami tidak dimaklumkan, tiba-tiba benda (CAC) itu wujud, kami rasa dukacita kerana tidak diajak berbincang.
"Sekurang-kurangnya kita boleh bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sebelum ini tular sebuah video yang dikongsi penduduk, menunjukkan kawasan taman perumahan berkenaan sesak dengan kenderaan pesakit yang ingin ke CAC berkenaan.
Penduduk yang merakam video berkenaan juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) membuka CAC di kawasan berkenaan.
Sementara itu, tinjauan di CAC Stadium Malawati, mendapati keadaan terkawal apabila hanya kira-kira 2,000 pesakit yang dipercayai positif COVID-19 melaporkan diri berbanding lebih 4,000 pesakit yang datang semalam.
Difahamkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut meninjau kawasan itu kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Tinjauan turut mendapati, sebanyak 13 khemah disediakan untuk pesakit yang datang melaporkan diri, sebelum proses selanjutnya dijalankan.
#Kementerian Kesihatan #COVID-19 #CAC #Pusat Penilaian COVID #Dewan Sukan Klang #Stadium Malawati #tenang