IPOH: Cadangan untuk membangunkan tapak Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan dibuat selepas tidak menerima sebarang bantahan.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak membuat keputusan bersendirian, sebaliknya, perkara itu diputuskan di dalam mesyuarat Exco yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Menurutnya, selepas dipersetujui, kerajaan melakukan beberapa proses termasuk membuat hebahan umum bagi membolehkan orang ramai membuat bantahan.

“Bagaimanapun tiada satu pun bantahan dan biasanya bantahan adalah antara tujuh atau lapan tetapi perkara ini tak ada… kosong,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Norhayati Abdul Rahim di Manjoi di sini, pada Ahad.

Norhayati, 39, yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak kematian suami sekitar tiga bulan lalu.

BACA: Perak bincang semula keputusan jual tanah Istana Raja Muda di Teluk Intan

Bagaimanapun, jelas Ahmad Faizal, apabila proses tender dimulakan, terdapat bantahan daripada orang ramai yang mahukan istana itu dipulihara sebagai bangunan warisan.

“Saya amat bersetuju bangunan itu perlu dipulihara dan ditambah baik tetapi di sekelilingnya boleh dibangunkan supaya boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya

Terdahulu pelbagai pihak, termasuk pencinta sejarah membantah tindakan untuk menjual istana lama itu kerana dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.

Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Ahmad Faizal berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya kerajaan mempunyai cadangan lain tetapi dalam masa memulihara bangunan warisan itu.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak mengumumkan akan membincangkan semula keputusan untuk menjual tanah yang menempatkan Istana Raja Muda secara tender.

Saarani berkata, ia berikutan terdapat bantahan dan pandangan baharu mengenai keputusan itu.