Khabar mengejutkan daripada Indonesia yang mahu menilai semula operasi penerbangan kos rendah di negara itu mendapat pelbagai reaksi.

Terbaru, Ketua DPR Indonesia, Fary Djemy Francis menyatakan bahawa banyak pihak yang rugi sekiranya penerbangan tambang murah benar-benar dihentikan operasinya, lapor MetroTVNews.com.

Menurutnya, sekiranya tujuan pihak berkuasa untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam dunia penerbangan, adalah lebih baik Kementerian Perhubungan berusaha memastikan peraturan yang sudah ada benar-benar dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh ke atas setiap pesawat.

Tambah Fary, harga tiket yang murah tidak boleh secara langsung dikaitkan dengan insiden kemalangan sesebuah pesawat.

“Alangkah baiknya jika Menteri Perhubungan menumpukan perhatian terhadap kepatuhan penerapan prosedur keselamatan tanpa kompromi dan meningkatkan pengawasan secara berterusan,” ujar Fary.

Langkah itu, menurutnya, lebih baik berbanding mengeluarkan aturan baru bagi pesawat tambang murah yang selama ini menjadi pengangkutan alternatif masyarakat.

Peraturan baharu melibatkan tiket murah merupakan tindakan yang diambil pemerintah Indonesia selepas insiden nahas pesawat AirAsia QZ8501. Antara langkah yang hendak diambil termasuklah membataskan jualan tiket penerbangan tambang murah, apatah lagi dengan harga yang sangat rendah.

Alasan yang diberi Menteri Perhubungan, Ignatius Jonan adalah untuk mencegah persaingan tidak sihat antara syarikat penerbangan, selain mencegah kemungkinan pelanggaran izin penerbangan di luar jadual yang ditetapkan.