KOTA KINABALU: Cadangan projek Kereta Kabel Kinabalu di kawasan Kundasang, berhampiran Gunung Kinabalu perlu memenuhi prinsip pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata sebarang pembangunan yang melibatkan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.
Advertisement
Beliau berkata Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi, oleh itu setiap cadangan pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.
“Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada Jesselton International Sdn Bhd yang membentangkan cadangan projek Kereta Kabel Kinabalu serta laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi kawasan berkenaan.
Jafry berkata terdapat beberapa contoh pembangunan kemudahan kereta kabel di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan dengan kawalan ketat dan pendekatan berasaskan pemuliharaan.
Antaranya termasuk Skyrail Rainforest Cableway di Queensland, Australia, Teleférico del Teide di Taman Negara Teide, Sepanyol dan Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.
Selain itu, Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil membuktikan pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap.
“Pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti ini boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.
Jafry berkata pendekatan “konservasi didahulukan” perlu menjadi asas dalam menilai cadangan projek itu, selain memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.
Beliau berkata cadangan projek berkenaan juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.
“Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati berasaskan data dan sains serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Taman-Taman Sabah (TTS) dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
-- BERNAMA