KUALA LUMPUR: Cadangan pengoperasian semula institut memandu dan bas ekspres akan dibincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan, kerajaan memerlukan sedikit masa lagi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Antara yang dibangkitkan ialah mengenai pengoperasian semula institut memandu dan isu-isu berkaitan. Begitu juga dengan pengusaha bas ekspres yang masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya pada ketika ini. 

"Dalam masa sama, cadangan-cadangan membabitkan kedua-dua sektor ini akan dibincangkan secara terperinci bersama  KKM, Kementerian Kewangan dan MKN bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang melanda industri yang masih belum dapat beroperasi akibat pandemik COVID-19," kata Ka Siong melalui entri terbaharu di laman Facebooknya pada Ahad.

Beliau sebelum itu mengadakan sesi dialog secara maya bersama pemain-pemain industri bagi membincangkan mengenai institut memandu dan perkhidmatan bas ekspres.

Turut serta dalam perbincangan ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, Pengerusi Majlis Piawaian Dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM), Datuk Hanafi Mat Zin, Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Tan Yang Kiong, Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Teo Kock Kee dan Pengerusi Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar.

Manakala bagi bas ekspres pula disertai Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA) dan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA).

Kementeriannya akan membuat pengumuman berkaitan perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.

 
Sumber Facebook wksbmenglish