KUALA LUMPUR: Cadangan pembaharuan perbelanjaan kesihatan awam bagi mewujudkan sistem perkhidmatan kesihatan terbaik di negara ini akan dibawa dalam pembentangan Kertas Putih Kesihatan pada persidangan Parlimen, Jun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya juga akan sentiasa berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) supaya peruntukan untuk Kementerian Kesihatan ditingkatkan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Jadi sekarang kita ada (peruntukan) 2.9 peratus (berbanding KDNK), dan kalau dibandingkan negara kita dengan negara-negara setaraf dengan kita iaitu negara berpendapatan sederhana, mereka sudah berada pada kadar sehingga lima peratus.

"Insya-Allah kita akan sentiasa (ada) libat urus dengan MOF dan memastikan khususnya anggota Kabinet, memahami kenapa kita memerlukan perbelanjaan atau bajet sebegitu untuk memastikan sistem perkhidmatan (kesihatan) kita yang terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program CRM (Penyelidikan Klinikal Malaysia) Trial Connect 2023 yang bermula hari ini hingga 12 Mei bersempena sambutan Hari Penyelidikan Klinikal 2023.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata negara kini sudah bersedia untuk memulakan percubaan penyelidikan klinikal ke atas manusia di dua lokasi bertauliah iaitu Hospital Besar Sarawak dan Hospital Ampang.

"Kita mempunyai fasiliti dan kita juga ada displin apabila kita laksanakan penyelidikan itu dan ini sebenarnya menarik minat banyak syarikat untuk melakukan First-in-Human (clinical trial) di Malaysia di bawah Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM)," katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM Dr Akhmal Yusof.

Berhubung program hari ini, Dr Zaliha berkata ia bagi mempamerkan pencapaian dan keupayaan negara dalam tajaan penyelidikan.

"Sepanjang dekad lalu, tajaan penyelidikan telah membawa masuk lebih RM1 bilion nilai kontrak penyelidikan klinikal, mewujudkan 2,700 pekerjaan mahir dalam penyelidikan klinikal dan menyempurnakan ebih 2,000 penyelidikan tajaan," katanya.

-- BERNAMA