KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selain menjangkakan ia mampu mencapai keputusan dasar sebelum Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini kerajaan masih dalam proses mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Advertisement
Menurut beliau, semua input daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Peguam Negara serta parti politik sedang dikumpulkan dan diteliti bagi tujuan pindaan Perlembagaan.
“Kami sedang berusaha mencari titik keseimbangan yang boleh diterima semua pihak,” katanya selepas sesi libat urus bersama NGO di Parlimen pada Rabu.
Sesi pertemuan tertutup yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu turut menghimpunkan beberapa organisasi masyarakat sivil dan badan berkaitan undang-undang.
Pada masa sama, kerajaan sebelum ini jelas Azalina telah memutuskan untuk menangguhkan pembentangan rang undang-undang berkaitan pemisahan fungsi bagi memberi ruang kepada penelitian lebih mendalam oleh jawatankuasa Parlimen khas yang baharu ditubuhkan.
Beliau berkata, bahawa perbincangan kini memberi tumpuan kepada aspek struktur Perlembagaan bagi memastikan pemisahan peranan dapat dilaksanakan secara jelas dan berkesan.
Tambah Azalina, aspek pelaksanaan terperinci akan diperhalusi pada peringkat seterusnya selepas kerangka asas dipersetujui.
Menurutnya, antara isu utama yang sering dibangkitkan oleh NGO dan CSO ialah keperluan memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan berkaitan jawatan utama perundangan negara.
“Rata-rata pihak menekankan supaya Parlimen diberi ruang lebih besar kerana ia mewakili suara rakyat dalam sistem demokrasi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui kebimbangan mengenai pengaruh politik dalam proses pelantikan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Perkara ini memang tidak dapat dielakkan untuk dibincangkan kerana apabila kita bercakap tentang Parlimen, kita juga bercakap tentang elemen politik di dalamnya,” ujarnya.