Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang dibincang Kabinet, kontraktor - Loke

Bernama 19/08/2025 | 09:30 MYT
Loke berkata kajian kebolehlaksanaan projek ECRL di Rantau Panjang perlu dibuat terlebih dahulu.
KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai cadangan sambungan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Rantau Panjang, Kelantan akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan akan membawa cadangan sambungan Projek ECRL ke Rantau Panjang ke Kabinet, dengan perbincangan lanjut bersama kontraktor utama dari China, CCCC, serta kajian kebolehlaksanaan dan risiko banjir yang masih belum dilaksanakan.
  • Sambungan ke Thailand menghadapi cabaran teknikal seperti perbezaan jenis landasan antara ECRL dan SRT, dan memerlukan kawasan yard untuk integrasi kargo rentas sempadan.
  • Kementerian sedang menyediakan MoU Cross Border Transport Malaysia-Thailand dan mempertimbangkan sama ada sambungan ke Thailand patut menggunakan infrastruktur ECRL atau KTMB, demi manfaat ekonomi sempadan jangka panjang.


Beliau berkata projek berkenaan kini dalam proses pembinaan dan jajaran landasan ke Rantau Panjang adalah sebahagian daripada pakej projek, namun ia perlu dibincangkan dengan China, melibatkan kontraktor utama China Communications Construction Co Ltd (CCCC).

"Soal teruskan ECRL ke Rantau Panjang, ini sedang dibincangkan sebab projek ECRL masih berjalan dan nak sambung (di Rantau Panjang) adalah sebahagian daripada pakej ECRL yang perlu dibincangkan balik dengan China...ini belum sampai ke Kabinet, saya akan (bawa) ke Kabinet," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung jaminan kerajaan untuk meneruskan projek ECRL ke Rantau Panjang, serta kajian kesan risiko banjir projek itu.

Loke berkata kajian teknikal termasuk risiko banjir belum dilaksanakan, kerana kajian kebolehlaksanaan projek ECRL di Rantau Panjang perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata projek ECRL menelan kos yang besar kerana kebanyakan jajaran landasan di Pantai Timur dibina secara elevated iaitu menggunakan jejambat yang tinggi untuk mengelakkan risiko banjir.

"Bagi kawasan stesen di Rantau Panjang, jika ECRL nak disambungkan ke negara Thailand, kementerian mengenal pasti ada masalah teknikal iaitu perbezaan jenis landasan bagi ECRL dan SRT (State Railway of Thailand).

"Di (stesen) Rantau Panjang, jenis landasan yang digunakan ECRL dan SRT tidak sama...kita perlukan kawasan yard kerana kalau nak integrasi dengan Thailand, kita perlu benarkan SRT masuk ke Rantau Panjang dan mesti bersebelahan dengan landasan ECRL untuk permindahan kargo boleh dilaksanakan," katanya.

Dalam masa sama, Loke berkata kementerian sedang giat menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) Cross Border Transport antara Malaysia-Thailand sebagai satu usaha untuk memastikan pergerakan rel rentas sempadan dapat direalisasikan.

Beliau berkata bagi memastikan cadangan itu dapat memberi manfaat jangka panjang terbaik kepada negara dan menggerakkan ekonomi sempadan untuk penduduk setempat, ia perlu disambungkan kepada Thailand dan bukan sekadar berakhir di Rantau Panjang.

"Ada dua perkara utama perlu diperincikan sebelum cadangan ini dapat memasuki fasa kajian kebolehlaksanaan. Pertamanya ialah kesediaan kerajaan Thailand untuk menyokong sambungan ini termasuk aspek infrastruktur di bahagian Thailand.

"Perkara kedua yang perlu diperincikan ialah sama ada sambungan tersebut patut menggunakan infrastruktur ECRL atau KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad). Kementerian Pengangkutan akan terus mengambil tindakan susulan untuk memperincikan jajaran dan model kerjasama terbaik bersama pihak Thailand untuk menentukan hala tuju cadangan ini," katanya.

-- BERNAMA


#ECRL #Rantau Panjang #China #Anthony Loke