KUALA LUMPUR: Cadangan penutupan sektor perkilangan dan pembuatan hanya akan merencatkan ekonomi negara dan memberi kesan negatif kepada 2.2 juta keluarga pekerja sektor tersebut.

Pengerusi Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menegaskan, ekonomi negara akan dijana lebih rancak bukan sahaja menerusi sektor pembuatan tetapi juga menerusi beberapa sektor lain termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) menerusi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Hari ini, sektor perkilangan atau pembuatan menyumbang 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sektor ini turut menjana peluang kerja kepada lebih 2.2 juta pekerja.

"Saya merujuk kepada kenyataan media beberapa pemimpin politik yang mencadangkan penutupan sektor perkilangan dengan andaian pengoperasian industri pembuatan menjadi penyebab utama kes COVID-19 di negara ini.

"Pandangan mereka ini amat dangkal dan meleset," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Hanya sekitar 5-10 peratus kes COVID-19 berkait sektor perkilangan, pembuatan - Azmin

BACA: Kilang langgar SOP: Penguatkuasaan termasuk serbuan diselaras KDN - Ismail Sabri

Sebelum ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan sektor pembuatan dan perkilangan merupakan penyumbang terbesar kenaikan kes jangkitan COVID-19 di negara ini ketika ini.

Jelasnya, melalui data statistik Kementerian Kesihatan (KKM), hanya sekitar 5 hingga 10 peratus kes COVID-19 melibatkan sektor terbabit.

Dalam pada itu jelas Ema Syuhaili, berdasarkan statistik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 75 peratus kes positif sejak awal tahun ini merupakan kes sporadik manakala 25 peratus adalah kes yang dikesan dalam komuniti menerusi pelbagai kluster.

"Daripada pelbagai kluster tersebut, hanya 9 peratus atau 15,069 kes positif direkodkan daripada sektor perkilangan dan pembuatan.

"Di saat pelbagai kritikan dan cadangan untuk menutup operasi sektor perkilangan beberapa hari lalu, hanya 53 kes positif dikenal pasti daripada sektor perkilangan berbanding 5,803 kes positif baru harian dilaporkan pada 26 Jun baru-baru ini," ujarnya.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini bersetuju tanggungjawab penguatkuasaan termasuk serbuan oleh semua agensi terhadap kilang yang melanggar SOP di seluruh negara diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).