Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Caj kenderaan Jalan Genting Highlands perlu demi kelestarian jalan- King Sing

Faida Rahim 20/11/2025 | 07:35 MYT
Menteri Pelancongan berkata, cadangan mengenakan caj baharu ke Genting Highlands perlu bagi memastikan jalan di kawasan itu diselenggara secara berterusan. - Foto Bernama
BENTONG: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa cadangan kutipan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands adalah langkah yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan penyelenggaraan jalan di kawasan berkenaan dapat dilakukan secara berterusan.


Ringkasan AI
  • Cadangan kutipan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands adalah langkah yang perlu bagi penyelenggaraan jalan di kawasan tersebut berterusan.
  • Jalan menuju ke Genting Highlands adalah laluan persendirian yang memerlukan sumber kewangan tambahan disebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi.
  • Menteri Tiong King Sing menekankan kepentingan caj yang adil bagi memastikan kelestarian jalan serta memuji kecekapan Genting Malaysia Berhad dalam menyelenggara akses jalan di kawasan tersebut.


Beliau berkata, jalan menuju ke Genting Highlands merupakan laluan persendirian yang diselenggara sepenuhnya oleh kumpulan Genting Malaysia Berhad yang mana kos penyelenggaraan yang tinggi memerlukan sumber kewangan tambahan.

"Seperti yang diketahui, ia adalah jalan persendirian. Semua kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh Kumpulan Genting Berhad. Untuk kelestarian, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya. Buat masa ini pembangunan semakin banyak di kiri dan kanan, tetapi itu bukan milik Kumpulan Genting. Pemaju hanya datang dan pergi. Bukan bermakna mereka tidak mahu berkongsi tanggungjawab, tetapi sekarang kami bersetuju bahawa konsep ‘pengguna bayar’ adalah lebih wajar.

"Saya telah melawat semua tapak Genting dan perkara paling penting ialah caj mesti adil. Pastikan ia tidak menjadikan laluan ini seperti entiti awam sepenuhnya. Saya beritahu mereka perkara paling penting ialah kos yang terlibat. Berapa banyak kosnya? Jika dinaikkan, berapa kadar yang akan dikenakan? Semua ini kerana mereka perlu menyelenggara jalan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Resorts World Genting (RWG) dan Tourism Malaysia di Genting Highlands, pada Khamis.

Beliau turut memuji kecekapan pihak Genting Malaysia Berhad dalam memastikan akses jalan sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Tiong berharap orang ramai memahami rasional di sebalik cadangan tol itu kerana jumlah kenderaan, termasuk lori berat, yang menggunakan laluan berkenaan semakin meningkat.











#Tiong King Sing #caj kenderaan #jalan Genting Highlands #Genting Malaysia Berhad