Calon PN Ayer Keroh punyai rancangan atasi banjir

Bernama
November 10, 2021 04:50 MYT
GAN: Untuk selesaikan masalah banjir, ia memerlukan perancangan jangka panjang dan kita ada pelan, tetapi saya tak boleh berjanji akan selesai segera. --fotoBERNAMA
MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata beliau akan berusaha mengatasi masalah banjir di DUN itu sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.
Gan berkata beliau mempunyai perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
"Apa yang boleh saya cakap, kita akan buat yang terbaik... untuk selesaikan (masalah) banjir, ia memerlukan perancangan jangka panjang dan kita ada pelan, tetapi saya tak boleh berjanji (akan selesai segera)," katanya dalam kempen menerusi media sosial Facebook hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, DUN Ayer Keroh menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Gan, penyandang kerusi tersebut Kerk Chee Yee mewakili Pakatan Harapan dan Yong Fun Juan dari Barisan Nasional.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
Tarikh penamaan calon telah berlangsung pada 8 Nov lepas.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan seramai 495,195 pengundi berdaftar.
-- BERNAMA
#DUN Ayer Keroh #PRN Melaka #Michael Gan Peng Lam