Calon SPM maut, rakan parah motosikal terperosok bawah lori

Seorang calon peperiksaan SPM maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pengadun konkrit di Jalan Lunas-Bandar Permata, Kulim, pada Khamis. - Gambar ihsan PDRM
KULIM: Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pengadun konkrit di Jalan Lunas-Bandar Permata, di sini, pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, kedua-dua mereka berusia 17 tahun dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai.
“Kaunter aduan trafik Kulim menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah motosikal Yamaha Lagenda 100 dengan sebuah lori pada jam 4.15 petang.
"Calon SPM yang menunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
"Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku ketika motosikal mangsa sedang bergerak dari arah Pekan Lunas menghala ke rumah di Taman Lagenda.
"Manakala, lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu datang dari arah yang sama dipercayai untuk ke tapak pembinaan di Pekan Lunas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tengku Mohd Faisal berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lori terbabit ingin membelok masuk ke simpang kiri.
Katanya, motosikal yang dinaiki dua pelajar lelaki itu berada di belakang lori.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu laku terperosok di bahagian tayar belakang sebelah kiri lori.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk direkod keterangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


