Calon UPSR akhiri penantian 3 minggu, duduki kertas Sains, BI hari ini

Harits Asyraf Hasnan
September 30, 2014 00:59 MYT
Calon UPSR akhiri penantian 3 minggu, duduki kertas Sains, BI hari ini
Selepas tiga minggu menanti, hari ini pelajar Tahun 6 menduduki semula kertas ujian Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 berlangsung hari ini.
Sebanyak 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.
Empat peperiksaan matapelajaran UPSR terpaksa diduduki semula setelah ia didapati bocor.
Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober.
Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan lebih 30 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ekoran kebocoran kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris minggu lepas, Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam ditubuhkan dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik untuk mengetuainya.
Berikutan kes itu, kerajaan telah menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#bocor #integriti #pendidikan #peperiksaan #UPSR