Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lemas ketika berkelah bersama keluarganya di Air Terjun Belukar Bukit di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 11.00 pagi itu, Amir Ashari Mohd Ariffin, 12, dipercayai tergelincir ketika berjalan di atas batu di kawasan berkenaan.

Menurut ibunya, Nor Islami Saad, 41, mereka bersama 10 lagi anggota keluarga tiba di lokasi air terjun itu pada kira-kira 10.00 pagi.

Beliau berkata selesai mandi, mereka berehat di atas batu sebelum mangsa memaklumkan ingin melihat pemandangan menarik di kawasan berhampiran.

"Semasa dia berjalan di atas batu, tiba-tiba dia terjatuh dan saya terdengar dia menjerit meminta tolong dengan tangan terkapai-kapai sebelum tenggelam.

"Panik melihat insiden itu, beberapa orang ramai cuba membantu namun gagal menyelamatkannya sebelum menghubungi pihak Bomba," katanya kepada pemberita di rumah mayat Hospital Hulu Terengganu hari ini.

Nor Islami berkata anak kedua daripada empat beradik itu sebelum ini pernah merungut tidak mahu menduduki peperiksaan UPSR bagi kertas Sains dan Bahasa Inggeris selepas ia ditangguh.

"Arwah juga berazam untuk menghadiahkan keputusan 3A pada peperiksaan ini namun arwah tidak sempat menunaikannya," katanya.

Pegawai Pusat Operasi Bomba negeri Abdullah Zawawi Mohamed berkata mayat pelajar Sekolah Kebangsaan Paya Resak itu ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas pada pukul 12.32 tengah hari oleh pasukan Bomba.

Beliau berkata mayat mangsa, yang berasal dari Kampung Padang Tanjung, Marang, dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.