MALAYSIA

Candat sotong berpotensi jadi ikon pelancongan negara - Tourism Malaysia

Bernama 12/07/2025 | 15:45 MYT
Yong Ee Chin (kanan) melakukan gimik perasmian Karnival Candat Sotong pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, semalam. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Aktiviti tradisional mencandat sotong kini diberi nafas baharu apabila diangkat sebagai produk pelancongan strategik menerusi Program Pembangunan Sempena Karnival Candat Sotong X MADANI Rakyat 2025, di sini.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Rafidah Idris berkata penganjuran sulung karnival itu dilihat sebagai langkah awal ke arah memartabatkan aktiviti maritim berkenaan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi yang mampu menarik pelancong tempatan dan luar negara.

"Candat sotong bukan sekadar aktiviti menangkap hasil laut, tetapi membawa elemen budaya komuniti nelayan tempatan yang sangat menarik untuk diketengahkan ke peringkat global.

"Ia pengalaman pelancongan yang menyentuh semua deria, dari laut yang mendamaikan, hasil laut yang segar, sehinggalah kepada interaksi tulen bersama komuniti setempat," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival tersebut yang dirasmikan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Yong Ee Chin, semalam di Payang Walk di sini.

Rafidah berkata Tourism Malaysia melihat aktiviti mencandat sotong sebagai satu potensi besar untuk diangkat menjadi ikon pelancongan unik negara, khususnya di Pantai Timur.

Beliau berkata berdasarkan rekod tahun lepas, aktiviti berkenaan berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung dan menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan, sekali gus membuktikan keberkesanan program berasaskan komuniti dalam merancakkan sektor pelancongan luar bandar.

Rafidah berkata perkembangan itu merupakan petunjuk yang positif dan mengesahkan bahawa pengalaman mencandat sotong di Terengganu adalah antara produk pelancongan popular di negeri itu.

"Bagi menyokong usaha itu, pihak kami bersedia memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkaitan, dalam menambah baik promosi bagi menjadikan penganjuran karnival ini sebagai acara tahunan berskala besar," katanya.

Rafidah berkata Tourism Malaysia juga sedang merangka pembangunan pakej pelancongan holistik, tidak hanya tertumpu kepada aktiviti laut, malah merangkumi penginapan inap desa, sajian kulinari asli Terengganu, persembahan kebudayaan serta lawatan berkonsep warisan Islam dan sejarah tempatan.

"Keseluruhan pengalaman ini dirangka bagi membolehkan pelawat benar-benar menyelami jiwa Terengganu," katanya sambil menekankan bahawa aspek kelestarian akan menjadi teras utama pembangunan produk itu.

Beliau turut menyifatkan kehadiran pemain industri dan media ke karnival itu sebagai pemangkin kepada pendekatan baharu dalam mempromosikan pelancongan komuniti yang autentik, inklusif dan mampan.

Aktiviti mencandat sotong merupakan tradisi masyarakat nelayan Terengganu yang lazimnya berlangsung antara Mei hingga Ogos setiap tahun.

-- BERNAMA




#Tourism Malaysia #sektor pelancongan #terengganu #tradisi masyarakat #candat sotong