KANGAR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis segera mengambil tindakan tegas ke atas kilang yang dikesan mencemarkan air Sungai Ngulang sehingga menyebabkan ratusan ikan mati.

Menurutnya beberapa penduduk kawasan berkenaan mendakwa kejadian itu berpunca daripada pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri yang terletak sekitar lima kilometer dari sungai berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin persatuan itu berkata Sungai Ngulang bukan saja menjadi tempat orang ramai memancing berbagai jenis ikan air tawar, tetapi juga digunakan bagi tujuan mandi-manda dan mengairi sawah di negeri itu.

Presiden CAP Mohidden Abdul Kadir berkata CAP merasa kesal, kerana walaupun kejadian yang menyebabkan air sungai itu bertukar warna menjadi hitam pernah dilaporkan berlaku sebelum ini dan sampel air yang tercemar telah diambil untuk diuji, namun masalah ini masih juga berulang.

"Justeru itu CAP meminta JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyiasat secara menyeluruh punca masalah ini dan mendedahkan kepada umum tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang didapati terlibat mencemarkan sungai ini," katanya menerusi kenyataan itu.

"CAP percaya dan bimbang jika pencemaran itu berterusan Sungai Ngulang akan mengalami pencemaran lebih serius lagi pada masa akan datang dan menjejaskan pembiakan pelbagai jenis ikan di samping memberi kesan kepada aktiviti persawahan," katanya.

-- BERNAMA