GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur -sayuran di negeri itu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, beberapa jenis sayur-sayuran dikesan mengalami kenaikan harga sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Menurut beliau, antara sayuran yang mengalami kenaikan harga termasuk kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

“Umpamanya harga sawi pendek yang sebelum ini hanya RM3 sekilogram (kg) mengalami kenaikan sehingga 200 peratus menjadi RM9 sekilogram.

“Begitu juga brokoli yang turut mengalami kenaikan mendadak daripada RM8 satu kg ke RM20 satu kg. Selain
itu harga kobis bunga yang sebelum ini hanya RM7 kg namun kini naik sehingga RM16 satu kg,” kata Mohideen dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Tidak ketinggalan, kata beliau, harga sawi naik sebanyak 60 peratus iaitu daripada RM5 satu kg ke RM8 satu kg, kacang buncis daripada RM8 satu kg ke RM15 satu kg, kubis daripada RM4 satu kg ke RM6 satu kg, cili merah daripada RM13 satu kg ke RM19 satu kg dan cili hijau daripada RM10 satu kg ke RM14 satu kg.

Mohideen berkata, CAP turut menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong telah memberi amaran kepada mereka bahawa sayur-sayuran lain mungkin akan turut  mengalami kenaikan harga  dalam beberapa minggu akan datang.

“CAP menyeru Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP untuk menyiasat kenaikan harga sayur-sayuran di negeri itu memandangkan golongan berpendapatan rendah akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang tersebut.

“Tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010,” ujar beliau lagi.