[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

CAP sokong cukai kekosongan untuk kawal spekulasi hartanah

Bernama 17/07/2025 | 06:45 MYT
Mohideen berkata langkah ini penting untuk membendung aktiviti spekulatif yang menyukarkan golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong pelaksanaan cukai kekosongan terhadap hartanah kediaman yang dibiarkan kosong melebihi enam bulan, bagi mengawal spekulasi dan meningkatkan kemampuan memiliki rumah.


Ringkasan AI
  • CAP menyokong pelaksanaan cukai kekosongan hartanah kediaman yang terbiar lebih enam bulan bagi mengawal spekulasi dan meningkatkan akses rakyat kepada rumah mampu milik.
  • CAP mencadangkan semakan terhadap RPGT, duti setem dan kawalan ketat ke atas pinjaman serta pembelian rumah kedua dan oleh pelabur asing, untuk mengekang pelaburan bersifat spekulatif.
  • CAP menekankan perumahan sebagai hak asasi dan bukan komoditi pelaburan, serta menggesa reformasi dasar demi menjamin keadilan dalam pasaran hartanah.


Presiden CAP Mohideen Abdul Kader, berkata langkah ini penting untuk membendung aktiviti spekulatif, terutama dalam segmen rumah kos sederhana, yang menyukarkan golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman.

Beliau memberi contoh negara seperti Kanada dan Australia yang mengenakan cukai antara satu hingga tiga peratus ke atas nilai hartanah kosong.

"Banyak unit kediaman khususnya di bandar masih terbiar kosong, manakala rakyat bergelut mencari rumah mampu milik. Keadaan ini berpunca daripada sikap yang melihat perumahan sebagai pelaburan, bukan keperluan asas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cukai kekosongan, katanya akan menggalakkan pemilik menyewakan atau menjual unit yang terbiar, sekali gus menambah bekalan rumah dalam pasaran aktif.

CAP juga menggesa kerajaan menyemak semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan duti setem, serta mencadangkan kadar lebih tinggi ke atas penjualan hartanah dalam tempoh pegangan singkat dan pembelian rumah kedua dan seterusnya.

Mohideen turut mencadangkan kawalan ketat ke atas pembelian rumah oleh pelabur asing dan pinjaman kepada individu yang memiliki lebih daripada satu rumah, termasuk menurunkan nisbah pinjaman kepada nilai (loan-to-value ratio) untuk mengawal pinjaman spekulatif.

Katanya, tanpa pembaharuan dasar menyeluruh, sektor perumahan akan terus memihak kepada pelabur dan menafikan hak rakyat biasa. CAP menekankan bahawa perumahan ialah hak asasi, bukan komoditi untuk spekulasi.

CAP juga menyeru penggubal dasar agar segera bertindak dengan memperkenalkan cukai kekosongan, memperkukuh RPGT, menyemak duti setem dan mengetatkan peraturan pinjaman bagi menjamin keadilan dan kebolehcapaian dalam pasaran hartanah.

-- BERNAMA



#cukai kekosongan hartanah #Persatuan Pengguna Pulau Pinang #dibiarkan kosong melebihi enam bulan #mohideen abdul kader