Berpakaian lengkap Baju Melayu pada pagi Aidilfitri bagi sesetengah kaum lelaki, bukannya dengan bersongkok dan berkasut kulit, tetapi memakai capal.

Sama juga bagi mereka yang memilih Baju Melayu dan berkain pelikat, atau berjubah ke masjid, capal buatan tangan biasanya menjadi pilihan.

Capal bentuknya seperti selipar, tetapi diperbuat daripada kulit.

Pembuat capal tradisional tidak ramai di negara ini, maka yang pakar akan sibuk dan bertungkus lumus menghasilkan capal bagi memenuhi permintaan ramai menjelang Aidilfitri bulan depan.

Capal hasil kerja tangan Badril Shahidan Hashim yang menggunakan jenama 'Jago' di sini, mendapat sambutan baik setiap tahun bermula sebulan sebelum Ramadan lagi.

Menurut Badril masa bekerja beliau kini lebih kurang 18 jam setiap hari.

"Saya terpaksa menutup tempahan sejak bulan lepas lagi dan kini memberi fokus kepada pelanggan yang datang beli di kedai," katanya kepada Bernama di sini.

"Buat masa ini juga saya berhenti membuat capal untuk perempuan dan kanak-kanak bagi memastikan masa yang lebih digunakan membuat capal lelaki untuk memenuhi permintaan," katanya.

Badril berkata kepuasan pelanggan adalah matlamat utamanya walaupun sehingga terpaksa bekerja pada Hari Raya untuk menyiapkan tempahan terutama bagi mereka yang di saat-saat akhir membeli dan minta diubah suai saiz dan sebagainya.

"Kadang kala ada yang datang dari jauh seperti Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah untuk membeli capal. Jika nasib mereka baik, saiz yang dikehendaki ada. Jika tiada saiz, saya minta mereka tunggu dan saya buat capal mengikut saiz yang diminta," katanya.

Beliau berkata pelanggan beliau termasuk orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Rais Yatim dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.

Badril mewarisi seni membuat capal daripada arwah bapanya, Hashim Hassan, yang memulakan perniagaan itu pada tahun 1958.

"Saya belajar membuat capal sejak umur sembilan tahun dan kini, saya dapat menghasilkan lebih kurang 40 pasang capal sehari," katanya

Beliau menerangkan bahawa keistimewaan capal Jago ialah ia diperbuat daripada kulit lembu dan dijahit tangan, menjadikannya selesa untuk dipakai.

Badril yang dibantu rakannya berkata rekaan capal yang dibuat di kedainya diwarisi daripada bapanya.
Capal Jago dijual dalam tiga jenis iaitu capal Panglima, Capal Menteri dan Capal Diraja dengan harga masing-masing RM35, RM83 dan RM380.