KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa menjalankan siasatan segera, berhubung penularan video memaparkan aktiviti pemprosesan ayam di sebuah premis di ibu negara, yang mencetuskan keresahan umat Islam.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu penting bagi memastikan aspek kepatuhan syariat dalam kaedah penyembelihan serta jaminan keselamatan makanan sentiasa terpelihara.
Jelas beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menzahirkan kebimbangan selepas rakaman tersebut tular di media sosial sejak awal pagi Selasa.
"Siasatan perlu merangkumi kaedah penyembelihan, status halal serta mengenal pasti ke mana ayam yang diproses itu dibekalkan dan dijual.
"Siasatan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga perlu meliputi aspek kebersihan, pematuhan undang-undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing," katanya menerusi hantaran di laman Threads miliknya pada Selasa.
Menurut Radzi, sekiranya terbukti wujud sebarang pelanggaran syarat dan undang-undang, tindakan perundangan yang tegas wajar diambil tanpa kompromi.
"Isu halal dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan!" tegasnya lagi.
Beliau turut mengesahkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Ketua Pengarah JAKIM selain memaklumkan perkembangan tersebut kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi pendek serta tangkap layar premis pemprosesan ayam di Persiaran Mewah, Bandar Tun Razak yang mendakwa aktiviti sembelihan dan pengendalian ayam di situ meragukan selain dikendalikan pekerja warga asing.
Menerusi video tular yang dimuat naik pengguna Threads dikenali sebagai @abeoabe, premis berkenaan dilihat memproses ayam dalam keadaan persekitaran yang kotor dengan lantai bertakung sisa cecair dan darah, selain bakul-bakul ayam disusun rapat di ruang pemprosesan yang sempit.
Rakaman itu turut mencetuskan kemarahan warga maya apabila mendakwa ayam-ayam tersebut dikendalikan oleh pekerja warga asing tanpa kawalan kebersihan yang rapi, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada ayam yang disembelih mematuhi hukum syarak atau berstatus 'bangkai'.
Berdasarkan maklumat dan tangkap layar yang dikongsi orang awam, premis pemprosesan ayam segar terbabit dipercayai beralamat di kawasan Persiaran Mewah, Bandar Tun Razak, di sini.