Cari dalang sebabkan kehilangan tanah - Majlis Belia Felda

Astro Awani
Disember 23, 2017 10:39 MYT
MBFM sedia memberi kerjasama jika diperlukan dan tidak akan berkompromi dengan tindakan pecah amanah serta salah guna kuasa melibatkan Felda. -Gambar fail/Shahir Omar
Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) menggesa pihak bertanggungjawab menangkap dalang yang menyebabkan Felda hilang hak milih tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Setiausaha Agungnya, Mohd Syahrizal Md Yusof berkata perkara ini perlu diberi perhatian serius.
"Kami memohon pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan-badan kerajaan untuk mengembalikan hak tanah yang sebelum ini dilaporkan di media," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.
Tambah Mohd Syahrizal, MBFM sedia memberi kerjasama jika diperlukan dan tidak akan berkompromi dengan tindakan pecah amanah serta salah guna kuasa.
Sebelum ini, Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas sebidang tanah bernilai kira-kira RM270 juta ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa 'meragukan'.
Pada Khamis, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah itu.
#Balai Polis Gong Badak #Felda #MBFM #Mohd Syahrizal #Rasuah #salah guna kuasa #shahrir samad #SPRM