Caruman suri rumah: Wan Azizah jumpa KWSP minggu depan

Hilal Azmi
Mei 24, 2018 03:55 MYT
Wan Azizah (kiri) ketika sidang media selepas menerima nota serah tugas daripada Rohani. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad (kanan). - Astro AWANI
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu depan.
Beliau yang juga memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, pertemuan itu untuk membincangkan mekanisme terbaik bagi merealisasikan janji Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan caruman KWSP kepada golongan suri rumah.
"Saya akan bertemu pihak KWSP untuk menyediakan pelan tindakan memberikan caruman KWSP kepada suri rumah.
"Mekanisme ini penting kerana ia bergantung kepada siapa yang layak serta kaedah untuk mencarum.
"Dua peratus daripada pendapatan suami dan bagi yang layak, RM50 daripada kerajaan. Mekanisme ini penting kerana ia membabitkan dana kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menerima nota serah tugas daripada bekas menteri, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, hari ini.
Beliau tiba di lobi kementerian sekitar jam 9 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad serta Majlis Pengurusan Tertinggi KPWKM dan warga kementerian.
#Caruman KWSP #kementerian wanita #KWSP #KWSP utk surirumah #Rohani Abdul Karim #surirumah #Wan Azizah