Skip to main content

Malaysia

Cederakan bekas tunang, penganggur didenda RM1,500

Pempengaruh pukul tunang didenda RM1,500
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. - Gambar/ Sinar Harian

KOTA BHARU: Seorang penggangur hari ini didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku mencederakan bekas tunangnya, bulan lepas.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama empat bulan jika gagal membayar denda. 

Advertisement

Syed Zamri membayar denda itu.

Anak bongsu daripada lima beradik itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Putri Fasha Felisa Mohd Izhan,19, di sebuah rumah belakang sekolah Raja Bahar, Taman Ehsan dekat sini pada 5.30 petang 21 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sewa tertuduh dan berlaku pertengkaran sehingga terjadi pergelutan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian lengan kanan serta lengan bawah kanan seperti disahkan dalam laporan pegawai perubatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala Syed Zamri diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video