Skip to main content

Malaysia

Cekal demi rawatan anak, jurugambar ambil upah abadikan momen keluarga beraya

IPOH, 11 Jun -- Jurugambar sambilan Utusan Malaysia Biro Perak Muhamad Nazreen Syah Musthafa, (kanan) 36 bersama isterinya Norshuadah Abu Bakar, 32, (kiri) menunjukkan keadaan fizikal kedua anak mereka Aina Afieyah, 9 dan Muhamad Mikhail, 3 yang mengidap penyakit kulit genetik jarang jumpa, Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh ketika ditemui Bernama di kediaman mereka di Ulu Kuang Chemor hari ini.  Muhamad Nazreen, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang membantunya mendapatkan bekalan ubat dan p
Muhamad Nazreen Syah, (kanan) 36 bersama isterinya Norshuadah Abu Bakar, 32, (kiri) menunjukkan keadaan fizikal kedua anak mereka Aina Afieyah, 9 dan Muhamad Mikhail, 3 yang mengidap penyakit kulit genetik jarang jumpa, EB atau kulit rapuh ketika ditemui di kediaman mereka di Ulu Kuang Chemor hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Enggan tunduk dengan desakan ekonomi, seorang bekas jurugambar media Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 37, nekad mengusahakan studio foto merakam gambar keluarga dan momen indah sempena Aidilfitri bagi menampung kos rawatan penyakit dua orang anaknya.

Muhamad Nazreen Syah atau lebih mesra disapa Ayen berkata inisiatif itu diambil selepas beliau kehilangan punca pendapatan tetap dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi pemandu e-hailing demi kelangsungan hidup keluarganya.

Advertisement

Ini terutamanya bagi menyediakan kos perubatan kedua-dua anaknya yang menghidap penyakit kulit genetik jarang ditemui, Epidermolysis Bullosa (EB) yang memerlukan perbelanjaan tinggi setiap bulan hingga mencecah RM5,000 sebulan .

"Permulaan untuk studio ini sebenarnya selepas saya berhenti kerja, saya memang tidak ada hala tuju lagi dan hanya buat GrabCar sehingga ke Kuala Lumpur. 

“Kemudian, seorang kawan menawarkan peluang untuk membuka studio di Homestay Mama Sufi di Tambun dengan pengiraan keuntungan dikongsi bersama tanpa memerlukan modal yang besar," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata dua anaknya, Aina Afieyah, 10, dan Muhamad Mikhail, 4, menghidap EB jenis Recessive Dystrophic yang menyebabkan kulit mereka sangat sensitif serta mudah terluka di seluruh anggota badan termasuk mata.

Ayen berkata beliau menawarkan harga berpatutan bagi merakam gambar profesional di studio tersebut bermula RM150 bagi seorang hingga lapan orang serta RM200 bagi kumpulan sehingga 13 orang untuk sesi fotografi selama 30 minit.

"Setakat ini Alhamdulillah, masuk hari ke-10 Ramadan permintaan mula meningkat sehingga mencecah enam ke tujuh keluarga sehari.

“Walaupun kami tetapkan masa 30 minit, ada kalanya kami berikan lebihan masa sebagai sedekah kepada mereka yang datang berkumpulan," katanya yang kini bergerak sebagai jurugambar bebas.

Beliau berkata walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM1,500 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), beliau tetap perlu bersedia dengan wang simpanan sekiranya bekalan ubat-ubatan terputus.

Selain itu, beliau juga pernah menerima bantuan daripada Tabung Kasih@HAWANA yang disifatkan hadir pada waktu yang sangat tepat ketika beliau benar-benar tersepit untuk membiayai rawatan anaknya.

"Bantuan MAIPk dan JKM itu kami simpan untuk beli ubat, namun jika bekalan daripada pihak hospital lambat, saya terpaksa dahulukan duit sendiri dengan membeli ubat yang lebih murah di platform Shopee," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Muhamad Nazreen Syah mengakui masih belum mempunyai hala tuju yang pasti selepas musim perayaan Aidilfitri ini memandangkan pasaran kerja sebagai jurugambar profesional semakin mencabar mengikut faktor usia.

Meskipun mempunyai minat dan kemahiran dalam bidang masakan, beliau berkata kekangan modal serta tanggungjawab besar menguruskan anak yang sakit membataskan hasratnya untuk membuka perniagaan makanan buat masa ini.

"Selepas raya mungkin saya akan kembali fokus kepada GrabCar semula kerana itu punca pendapatan yang paling mudah didapati sekarang walaupun perlu memandu berjam-jam lamanya serta akan terus menjadi jurugambar bebas untuk sebarang tawaran kerja luar seperti majlis perkahwinan atau acara sukan demi menampung keperluan keluarga," kata suami kepada Norshuadah Abu Bakar, 33, yang merupakan seorang suri rumah.

Sementara itu, pegawai bomba Azry Affan Askury, 37, ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan di studio berkenaan dengan menyifatkannya sebagai sangat menarik perhatian.

“Alhamdulillah sangat berpuas hati sebab apabila kita tiada idea, dia (Muhamad Nazreen Syah) akan beri guide. Kami photoshoot sebelum ini di luar, apabila dalam rumah, prop apa yang kami nak pakai kami pun tiada idea, so dia bagi idea dan guide,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Dalam pada itu, seorang guru Noor Faezah Abdul Muthalib, 35, berkata sikap mesra Muhamad Nazreen Syah dalam mengendalikan sesi foto itu memudahkan urusan dia bersama suami dan rakan-rakannya untuk bergambar, selain suasana studio yang menarik.

“Sebelum datang saya tengok dia punya prop semua macam ala zaman dulu-dulu, so macam menarik minat kami untuk datang ke sini untuk tangkap gambar,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video