KOTA BHARU: Cemas akibat membawa dadah, seorang lelaki bertindak melanggar bahagian depan kereta peronda polis ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa itu di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong Pasir Mas awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sepasukan pegawai bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas terlihat sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dalam keadaan mencurigakan dengan tingkap di bahagian pemandu terbuka.

"Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit bertindak mengundur kenderaan yang dinaikinya secara laju sebelum melanggar bahagian depan kereta polis, bagaimanapun polis berjaya menahan suspek yang terbabas di bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit menjumpai satu bungkusan plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1,790.45 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM49,500.

Beliau berkata lelaki berumur 21 tahun itu ditahan di depan sebuah rumah di Taman Wira Jaya pada 1.50 pagi dan semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan positif methamphetamine.

"Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA