JOHOR BAHRU: Cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan mendapati punca kematian Bella adalah retakan di kepala, dipercayai akibat hentakan objek.

Beliau dalam pada itu menafikan polis memberi keistimewaan kepada suspek utama yang dibebaskan dengan jaminan sebelum ini, membolehkan dia ke luar negara untuk mengerjakan ibadat umrah.

"Motif pembunuhan Bella ini adalah mungkin daripada cemburu, macam saya cakap sebelum ini di Kuala Lumpur, kes bunuh ini mesti mempunyai motif... daripada motif tersebutlah kita akan memulakan (siasatan) di situ dapat bayangan ke arah motif. Inilah motif yang kita dapat tahu.

Kes Bunuh Bella: Suspek pertama dihadapkan ke mahkamah

"Pada 16 Disember kita tangkap iaitu dua minggu lepas dan suspek telah dituduh hari ini. Sama ada mangsa sedang mengandung atau tidak itu 'post mortem' akan menentukan keadaan itu.

"Pihak polis tidak beri keistimewaan (kepada suspek), siasatan pertama kita jalankan di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan (kesalahan menculik) tetapi apabila keterangan tidak mencukupi kita bagi jamin, namun siasatan kita berjalan dan kita tidak akan berpuas hati dengan siasatan dilakukan.

"Atas usaha PDRM Johor khususnya PDRM Batu Pahat, kita jumpa bukti dan keterangan baharu yang membolehkan kita menangkap dan menyiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kes bunuh. Bukan kita bebaskan untuk dia pergi umrah, tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Timbalan Ketua Polis Johor, serta Majlis Persaraan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Pagi Rabu, suspek utama kes pembunuhan Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Bella gagal dikesan sejak 14 Disember lalu dan kali terakhir dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) keluar bersama teman lelakinya untuk ke dobi dengan memakai baju kelawar berwarna gelap.

Pada 15 Disember lalu, kakak Bella tidak dapat menghubungi dan membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember di Ibu Pejabat Polis daerah Batu Pahat.