CENBET seru percepat pemansuhan Akta Hasutan 1948

Astro Awani
Ogos 29, 2014 02:22 MYT
PM perlu percepatkan process pemansuhan Akta Hasutan 1948, kata CENBET. ADUN Seri Delima R.S.N Rayer (gambar) dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut. (Gambar fail)
Badan bukan kerajaan yang digelar Centre For A Better Tomorrow (CENBET) menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mempercepatkan proses pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
“Beliau membuat janji demikian pada 11 Julai 2012. Pemansuhan akta tersebut dengan serta-merta akan menghentikan tuduhan bahawa beliau melaksanakan undang-undang berdasarkan kepentingan politik. Ini juga akan membantu menguatkan imejnya sebagai seorang pemimpin reformis,” kata presiden bersama CENBET Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan semalam.
Seruan untuk memansuhkan Akta Hasutan timbul berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima R.S.N Rayer dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades, Jelutong, pada Mei lalu.
Ahli parti DAP itu mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di Pulau Pinang hari ini.
“Walaupun Rayer bertindak keterlaluan untuk menggunakan kata ‘celaka’, kami keliru mengapa dia dihadapkan ke mahkamah untuk tuduhan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM 5,000 . Jika disabitkan, Rayer boleh hilang kerusinya sebagai wakil rakyat.”
Gan juga meminta Peguam Negara menjelaskan mengapa tindakan Rayer mengutuk parti politik disabitkan sebagai kesalahan jenayah.
“Rayer cuma mengutuk UMNO sebagai sebuah parti politik. Kenyataannya mungkin keras tetapi dia tidak menghasut kebencian kaum atau menggalakkan niat jahat ke atas raja-raja Melayu. Jika mengkritik Umno adalah satu kesalahan, adakah tindakan pemimpin Barisan Nasional yang mengutuk Pakatan Rakyat secara kasar juga salah di sisi undang undang?
“Pendakwaan sedemikian akan menyebabkan perbualan biasa di kalangan rakyat Malaysia menjadi jenayah. Tindakan tersebut juga dilihat sebagai berpihak kepada sesetengah parti politik,” tambah Gan.
Keputusan menghadapkan Rayer ke mahkamah, katanya, turut menceroboh hak kebebasan bersuara di negara ini.
Baru baru ini, beberapa ahli parlimen dari pihak pembangkang didakwa di bawah Akta Hasutan.
Pada Mei 6, ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP dituduh menghasut kerana menghasilkan klip video kontroversi yang dikatakan menghina kaum Melayu dan umat Islam, menurut aduan yand dibuat kumpulan pro-UMNO.
Pada Ogos 26, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut kerana kenyataan dibuat mengenai Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Pasa Ogos 19, ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran dari PKR pula ditahan berhubung kenyataannya mengaitkan Najib Razak dengan tuduhan liwat terhadap ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gan menambah Peguam Negara perlu menjelaskan syarat-syarat menggunakan Akta Hasutan.
Kegagalan untuk berbuat demikian, katanya, akan menimbulkan syak wasangka orang ramai bahawa undang-undang boleh digunakan sewenang-wenangnya dan secara terpilih.
“Ianya tidak baik untuk urus tadbir kerajaan - salah satu matlamat yang digalakkan CENBET,” kata Gan.
#Akta Hasutan 1948 #Cenbet #R.S.N Rayer