MALAYSIA

CENTHRA gesa Malaysia bawa usul khas di UNGA susulan veto Amerika Syarikat

Bernama 05/06/2025 | 09:44 MYT
Azril berkata, tindakan AS bukan hanya kegagalan diplomatik, tetapi satu pengkhianatan terhadap usaha menghentikan penderitaan lebih dua juta penduduk Gaza yang terkepung dan tidak bersenjata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap draf resolusi berkaitan Gaza.

Susulan itu, CENTHRA menggesa Malaysia membawa usul khas di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di bawah Artikel 377(a) Piagam PBB, bagi membolehkan tindakan kolektif diambil apabila UNSC gagal mencapai kata sepakat akibat kuasa veto.

Pengerusi CENTHRA, Azril Mohd Amin berkata resolusi S/2025/353 yang ditolak itu menggesa gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat serta pembukaan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Tindakan AS bukan hanya kegagalan diplomatik, tetapi satu pengkhianatan terhadap usaha menghentikan penderitaan lebih dua juta penduduk Gaza yang terkepung dan tidak bersenjata," katanya dalam kenyataan Khamis.

Azril menambah apabila 14 daripada 15 anggota menyokong resolusi dan hanya satu negara menggunakan veto, ini membuktikan ancaman sebenar terhadap keamanan global ialah kuasa veto itu sendiri.

Menurutnya, kegagalan UNSC menunaikan tanggungjawab seperti termaktub dalam Piagam PBB menuntut tindakan segera daripada UNGA.

Artikel 377(a) atau mekanisme Uniting for Peace membolehkan UNGA mengambil tindakan apabila UNSC gagal bertindak akibat veto anggota tetap, jelasnya.

Azril berkata mekanisme ini pernah digunakan dalam Krisis Terusan Suez (1956), rejim apartheid Afrika Selatan dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine (2022).

Beliau turut menegaskan Malaysia, sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan negara Islam yang berprinsip, tidak harus berdiam diri.

"Undang-undang kemanusiaan antarabangsa sedang diinjak-injak. Kelewatan hanya akan meragut lebih banyak nyawa," katanya.

CENTHRA turut menyeru Kementerian Luar dan Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB berunding segera dengan negara sahabat untuk memulakan proses membawa usul khas tersebut.

Antara tuntutan yang perlu dibawa ialah gencatan senjata kekal, akses bantuan tanpa sekatan, tindakan terhadap jenayah perang dan genosid, serta langkah kolektif seperti sekatan dan tindakan undang-undang.

Azril turut mengajak masyarakat sivil, ahli Parlimen dan negara anggota OIC bersatu dalam usaha undang-undang yang sah untuk menyelamatkan rakyat Palestin.

"Sudah tiba masanya dunia membebaskan diri daripada dominasi veto dan membina solidariti antarabangsa berasaskan keadilan dan maruah insan," katanya.

AS pada Rabu menggunakan kuasa veto bagi draf resolusi UNSC yang menggesa "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal" di Semenanjung Gaza, menurut laporan media antarabangsa.

Draf itu, yang dicadangkan oleh Slovenia bagi pihak 10 ahli Majlis -- Algeria, Denmark, Greece, Guyana, Panama, Pakistan, Korea Selatan, Sierra Leone, Somalia dan Slovenia -- menerima 14 undi yang menyokong.

Resolusi itu menyatakan "kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat, termasuk risiko kebuluran," dan mengingatkan kewajipan semua pihak untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.

Malaysia, menerusi Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis juga menyatakan kekesalan terhadap kegagalan berulang kali UNSC untuk menerima pakai resolusi tersebut.

"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, tindakan genosid dan menggunakan kebuluran serta sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


#hak asasi #Centhra #Amerika Syarikat #veto #Majlis Keselamatan PBB #draf resolusi #Gaza