KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya berurusan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai operasi dan hal ehwal syarikat itu.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ketika proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada MKD pada 2009.

TIA ditukar secara rasmi kepada 1MDB pada 2009.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri tersebut berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

"Ada PM di belakang mereka, kerana itu mereka beritahu hanya berurusan dengan PM," katanya.

Muhammad Shafee: Bagaimana awak dapat idea bahawa PM di belakang mereka? Siapa yang beritahu awak mengenai perkara ini?

Sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah beliau diminta oleh Najib supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1MDB dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd (PSI).

Ahmad Husni turut memberitahu mahkamah mengenai kebimbangan beliau dengan keadaan negara dan Najib berikutan penubuhan 1MDB sehingga menghantar surat peribadi kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada Ogos 2010.

Beliau berkata pihaknya juga tidak tahu bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh Setiausaha Syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA